Muhammad Aziq bersama jambangan sayur yang diterimanya. FOTO Ihsan Muhammad Aziq Zawawi
Muhammad Aziq bersama jambangan sayur yang diterimanya. FOTO Ihsan Muhammad Aziq Zawawi
Redzuan Muharam


LAZIMNYA, bunga atau coklat menjadi pilihan untuk dihadiahkan kepada graduan namun lain pula bagi Muhammad Aziq Zawawi, 21, yang menerima jambangan sayur daripada rakan baiknya pada majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Kisah mencuit hati itu mendapat perhatian warganet selepas Muhammad Aziq berkongsi pengalaman dan gambarnya bersama jambangan sayur yang diterima di Twitter.

Rata-rata warganet terhibur melihat perkongsian itu dan menganggap ia idea unik dan baik kerana memberi manfaat kepada penerimanya.

Antara sayur yang diterimanya adalah terung, lobak merah, salad, sawi, cili merah, kacang panjang dan bayam.

Bercerita lanjut, anak keenam daripada lapan beradik itu mengakui ada berpesan kepada keluarga dan rakan supaya tidak memberikan jambangan bunga pada majlis konvokesyen.

“Saya tidak sukakan bunga jadi saya pesan awal-awal pada keluarga supaya jangan membazir wang untuk membeli (jambangan bunga).

“Malah saya turut memberitahu perkara sama kepada rakan dan tak sangka, mereka hadir dengan membawa jambangan sayur.

“Kelakar juga kerana pelbagai jenis sayur ada di dalam jambangan itu dan menurut rakan, idea itu tercetus selepas melihat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima cenderahati sama dalam satu program baru-baru ini.

“Selain itu, mereka juga sepakat memberikan sayur kerana status saya sebagai penuntut bidang kulinari yang cenderung memasak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jambangan sayur pelbagai jenis yang diberikan rakan kepada Muhammad Aziq. FOTO Ihsan Muhammad Aziq Zawawi
Jambangan sayur pelbagai jenis yang diberikan rakan kepada Muhammad Aziq. FOTO Ihsan Muhammad Aziq Zawawi

Menurutnya, dia terkejut dengan maklum balas diterima daripada warganet selepas memuat naik kisah berkenaan di Twitter kerana tidak mempunyai pengikut ramai di platform berkenaan.

“Saya memuat naik ciapan selepas pulang majlis konvokesyen sekadar untuk berkongsi pengalaman tanpa menjangka kisah itu tular.

“Namun lain pula jadinya apabila banyak notifikasi diterima pada pagi keesokan hari hingga ibu menyangka ia penggera telefon bimbit.

“Apa pun, saya menghargai pemberian rakan itu dan sudah menggunakan sayur yang diberi untuk memasak lauk kari sehari selepas majlis konvokesyen,” katanya yang kini bekerja sebagai chef di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

Sehingga kini, ciapan dimuat naik Muhammad Aziq mendapat 11,800 tanda suka dan lebih 7,300 ulang ciap oleh warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 10:00 PM