KEADAAN treler dan motosikal Mohammad Izzuan.
KEADAAN treler dan motosikal Mohammad Izzuan.
Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang penghantar surat maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan terbalik di Kilometer 214.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Mohammad Izzuan Abdul Majid, 33, beralamat di Seberang Jaya, Pulau Pinang maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, mangsa yang menunggang Yamaha RXZ dipercayai terbabas dan terjatuh di lorong kiri lebuh raya sebelum tidak sedarkan diri.

Pemandu treler, Mahazir Ramlan, 35, berkata, dia cuba mengelak mangsa, namun motosikal lelaki itu tersangkut pada bawah kepala treler.

Mahazir berkata, kenderaannya menyeret motosikal itu sejauh 30 meter menyebabkan bahagian depan treler terbakar.

“Saya lega kerana sempat mengelak daripada menggilis mangsa,” katanya yang ditemui kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, mangsa meninggal dunia selepas motosikalnya terbabas dan terjatuh.

“Mangsa terjatuh di tempat kejadian sebelum motosikalnya dilanggar treler. Mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, saksi diminta tampil ke Balai Trafik Daerah Alor Gajah atau menghubungi Inspektor Marzuki Abd Fatah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:49 AM