TEME memuat naik video melukis potret Tunku Azizah sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 negara. FOTO Twitter @itsteme
TEME memuat naik video melukis potret Tunku Azizah sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 negara. FOTO Twitter @itsteme
Hairulazim Mahmud dan Redzuan Muharam


“SUKAR nak gambarkan perasaan ketika menerima notifikasi itu, gementar bercampur gembira dan saya juga amat terharu dengan penghargaan diberi,” kata arkitek yang juga penulis, Teme Abdullah.

Dia ditanya perasaannya selepas menerima penghargaan daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi ciapan di Twitter pada 31 Ogos lalu.

Penghargaan itu atas lakaran geometri wajah baginda dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dihasilkan Teme sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 negara.

Tunku Azizah di Twitter @cheminahsayang mengulang ciap video Teme melukis potret baginda dengan berkata, “I’m so touched and humbled...” selain menambah “Tuanku dan saya cukup suka dengan gambar lukisan ini @itsteme... terima kasih!”

CIAPAN Raja Permaisuri Agong.
CIAPAN Raja Permaisuri Agong.

Teme ketika dihubungi berkata, potret itu dilakar khas untuk kemerdekaan negara dan memilih Tunku Azizah sebagai subjek utama selepas mengambil kira cadangan pengikutnya di laman sosial.

“Dalam keadaan Malaysia yang menempuh cabaran, saya nampak Agong dan Permaisuri adalah sosok yang berjaya menyatupadukan rakyat jelata.

“Jadi, saya ingin ketengahkan perkara itu sebagai hidangan positif buat pengikut saya di Instagram, Twitter dan Facebook.

“Saya cuba menyebarkan aura itu menerusi lukisan potret individu berpengaruh dan ikon kesayangan ramai yang menjadi simbolik perpaduan negara,” katanya, hari ini.

Menurutnya, turut mengambil kira penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

“Satu cabaran buat saya melukis potret baginda, namun saya cuba yang terbaik dengan merujuk banyak gambar kedua-dua baginda sebelum melukis.

“Alhamdulillah, lukisan itu siap dalam tempoh sejam dan tak sangka, hasil kerja saya mendapat perhatian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang turut follow saya di Twitter,” katanya yang berkhidmat sebagai arkitek di firma di United Kingdom (UK).

Bercerita mengenai latar belakangnya, Teme yang menulis buku Pelukis Jalanan berkata, minat melukis hadir sejak kecil dan semakin mendalam hingga dia nekad mengambil jurusan seni bina ketika menuntut di UK.

Baginya, melukis ibarat terapi dan sebahagian caranya untuk menghiburkan insan di sekelilingnya termasuk pengikut di laman sosial.

“Ketika kecil, saya agak lewat membaca berbanding, kanak-kanak seusia dan keadaan itu rupanya disebabkan masalah disleksia tahap rendah (mild dyslexia) yang hanya saya diketahui apabila dewasa.

“Kiranya, melukis salah satu cara saya untuk melupakan seketika kekurangan diri dan Alhamdulillah, keluarga memberi galakan terutamanya ibu.

“Cuma, saya tidak mahu mengehadkan bakat ini sebaliknya, mencabar diri dengan melukis sesuatu di luar kebiasaan, termasuk bangunan menarik di UK.

“Sesekali, saya kongsikan gambar hasil kerja di laman sosial namun, tidak bercadang menyertai pameran kerana ini hanyalah minat saya,” katanya.

Mengenai penulisan pula, Teme mengeluarkan buku pertama, Pelukis Jalanan yang menceritakan survival pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di UK tanpa biasiswa.

“Alhamdulillah kini saya telah menghasilkan enam buku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 9:00 PM