Ismadi (tengah) menunjukkan gambar suami isteri yang ditahan selepas membunuh bayi perempuan mereka. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Ismadi (tengah) menunjukkan gambar suami isteri yang ditahan selepas membunuh bayi perempuan mereka. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


SUAMI isteri warga Myanmar ditahan selepas membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan sebelum mayatnya ditemui dalam tong sampah di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, 27 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, penahanan suami isteri itu berusia lingkungan 30-an yang juga pekerja kilang di Bukit Serdang terbabit dibuat pada 8 malam, 28 Ogos lalu.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi penemuan mayat bayi perempuan itu mendapati suspek dilihat membawa bungkusan dipercayai mengandungi bayi malang itu.

“Hasil soal siasat, suspek wanita mengaku melahirkan bayi itu sebelum dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam tong sampah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Ismadi berkata, bedah siasat dilakukan terhadap bayi berkenaan di Hospital Serdang mendapati punca kematiannya adalah lemas disebabkan dicekup dengan objek.

“Berdasarkan keterangan suspek, mereka menggunakan kain diikat pada kepala yang menutup muka bayi terbabit.

“Susulan itu, siasatan itu ditukar daripada Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat bayi perempuan berkenaan ditemui lelaki yang juga pekerja penyelia di pangsapuri terbabit dalam tong sampah pada 4.30 pagi, 27 Ogos lalu.

Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan dibungkus dengan kain berwarna hitam.

Berita berkaitan

Tergamaknya kamu wahai ibu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 12:43 PM