Sudirman Mohd Tahir


HADIR dengan pakej lengkap sebagai artis, Farah, 27, atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin tidak perlu menunggu lama untuk meletakkan kerjaya yang dibina sejak 2011 berada di landasan yang tepat.

Berjaya mencipta populariti menerusi beberapa drama, sekali gus membuatkan Farah antara yang menjadi rebutan penerbit dan stesen TV.

Kembali bekerjasama dengan pelakon Fikry Ibrahim dalam drama Kau Yang Pertama yang bakal disiarkan esok menerusi slot Akasia di TV3, Farah berkata dia sentiasa terbuka berlakon dengan sesiapa pun.

“Sebelum ini, saya dan Fikry pernah bergandingan dalam drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek yang ditayangkan di Astro Ria. Sejujurnya, saya terbuka digandingkan sekali lagi bersama Fikry.

“Kami mempunyai hubungan yang baik sebelum ini, jadi sebelum memulakan penggambaran, banyak perkara yang dibincangkan supaya kerja jadi mudah.

“Apa boleh dikatakan, saya gembira bekerja dengannya. Dia sangat menepati masa dan selalu memberikan idea terhadap karakter yang dimainkan. Tambahan pula, kru drama Kau Yang Pertama, kebanyakannya pernah menjayakan Cik Reen & Encik Ngok Ngek. Jika saya tidak selesa dengan mereka, sudah tentu saya tidak akan berlakon dalam drama kali ini,” katanya.

Berbanding drama sebelum ini, Farah bertuah kerana ia naskhah adaptasi novel popular. Namun, Kau Yang Pertama adalah skrip baharu.


Disebabkan itu, Farah sudah memberikan yang terbaik untuk watak Rose Nastasha dan berharap

diterima baik penonton.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi. Rezeki setiap drama berbeza. Kadangkala, kita tidak meletakkan sebarang harapan tetapi naskhah itu menjadi fenomena dalam kalangan penonton.

“Bagi drama Kau Yang Pertama, saya sudah cuba buat sehabis baik. Segala-galanya terpulang kepada penonton selepas ini untuk menilai,” katanya.

Ditanya pula mengenai watak idaman, Farah berkata dia teringin tampil menjadi wanita ganas dan ekstrem.

“Saya mahukan watak yang ganas dan ekstrem. Saya teringin berlakon dalam drama atau filem sebegitu. Namun, susah sebenarnya mahu mendapat watak seperti ini di Malaysia.

“Jadi, saya berhasrat untuk menerbitkan sendiri drama atau filem bawah syarikat sendiri iaitu Fawaadean Films. Saya berharap dapat mengubah landskap dunia penerbitan Malaysia pada masa akan datang. Saya mahu apa yang kita tonton dalam Netflix contohnya, dapat disaksikan di stesen televisyen tempatan,” katanya.

KAHWIN

Mengenai sisi peribadi, Farah yang dikatakan akan menamatkan zaman bujang berjanji berkongsi kepada umum jika sudah tiba waktu sesuai.

“Mengenai perkara itu, saya akan kongsikan kepada semua jika masanya sudah tiba,” katanya.

Diusik sama ada dia akan bertunang terlebih dahulu, Farah mengakui dia mahu terus bernikah.

“Kalau boleh, saya tidak mahu bertunang. Saya memilih untuk terus bernikah kerana risau melihat dugaan pasangan yang bertunang. Jika buat sekali pun, saya akan bertunang secara senyap,” katanya.


Perkembangan lain, Farah kini bergerak sendiri tanpa bantuan pengurus seperti sebelum ini.

“Saya menguruskan kerjaya sendiri kerana tidak suka berasa terikat dan mengikut arahan orang lain. Tambahan pula, saya hanya menerima satu tawaran kerja dalam satu masa.

“Untuk pembabitan kempen seperti produk atau apa saja, saya akan lakukan sendiri. Jadi, mudah sedikit untuk uruskan kerjaya. Jika saya was-was, saya akan bertanya pendapat ibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:01 AM