FIKRY Ibrahim pada pembukaan kedai gunting rambut miliknya, Hair Feeks Barbershop semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
FIKRY Ibrahim pada pembukaan kedai gunting rambut miliknya, Hair Feeks Barbershop semalam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


KERAP digandingkan dengan aktres Farah Nabilah, pelakon Fikry Ibrahim menegaskan tidak pernah wujud sebarang bibit cinta antara mereka sepanjang menjalani penggambaran bersama.

Fikry berkata, dia dan Farah bijak membahagikan soal kerja dan peribadi supaya proses penggambaran berjalan dengan lancar.

“Kami sangat profesional ketika bekerja. Tidak dinafikan, sesetengah artis ada yang jatuh cinta ketika mereka menjalani penggambaran, tapi kami berdua awal-awal lagi sudah meletakkan had untuk perhubungan ini.

“Saya dan Farah lebih selesa menjadi rakan artis saja. Lagipun saya ingin fokus untuk membina nama dalam industri seni dan mencuba pelbagai watak.

“Saya okey saja apabila kami sering digandingkan bersama untuk drama bersiri atau telefilem,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat sempena kedai gunting rambut pertamanya, HairFeeks di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, dia dan Farah bakal disatukan dalam drama bersiri berjudul Kau Yang Pertama untuk slot Akasia di TV3 mulai 12 Ogos ini.

“Kami tak sabar nak tengok maklum balas penonton nanti kerana watak kali ini sedikit berbeza berbanding drama Cik Reen Encik Ngok Ngek terbitan Astro Ria tidak lama dulu.

“Menerusi drama Kau Yang Pertama, jalan ceritanya agak berat sekali gus memberi kami cabaran untuk menjayakan watak ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Fikry menjelaskan dia mengambil keputusan untuk membuka kedai gunting rambut bagi menyediakan penyelesaian masalah dihadapinya sendiri setiap hari.

Katanya, dia berdepan masalah untuk mencari perkhidmatan dandanan rambut lelaki sekitar ibu kota yang menyediakan pelbagai servis selain menggunting rambut semata-mata.

Menurutnya, dia tidak pernah terfikir untuk menjalankan perniagaan kedai gunting rambut tapi idea itu tercetus sejak setahun lalu.

"Ini kerana saya mengalami masalah untuk mencari salun yang sesuai dengan diri.

"Kadang-kadang segan apabila pendandan dan tukang gunting rambut perempuan, ada masanya perempuan ada sebelah saya.

“Apabila nak buat rawatan rambut pun rasa malu, sebagai lelaki rasa tak macho. Saya tengok pun ramai perempuan, tak ramai lelaki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:27 PM