FIKRY ingin berada dalam industri hiburan bagi tempoh panjang, elak gosip murahan
FIKRY ingin berada dalam industri hiburan bagi tempoh panjang, elak gosip murahan
Najiy Jefri


SELEPAS tiga tahun mencanai bakat di pentas hiburan tanah air, Fikry Ibrahim menyifatkan langkahnya masih perlahan, tetapi stabil.

Fikry berkata, dia okey dengan apa yang dikecapinya ketika ini dan bersyukur masih diberi ruang untuk terus berada dalam industri seni.

“Saya tidak mahu terkejar-kejar, tetapi jika yakin sesuatu perkara itu boleh dilakukan, saya akan berusaha melakukannya. Saya percayakan kerja yang berkualiti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kedai gunting rambut miliknya, Hair Feeks di Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nama Fikry jarang terpalit dengan kontroversi atau gosip murahan. Seboleh-bolehnya dia cuba mengelak daripada terbabit dengan perkara itu kerana ingin berada dalam industri hiburan bagi tempoh yang panjang.

“Saya tidak mahu orang kenal saya dengan lambakan kontroversi. Malu kepada anak dan cucu cicit nanti.

“Mungkin untuk jangka masa pendek, ia memberi kepuasan apabila semua orang sibuk bercakap mengenai kita tetapi untuk tempoh waktu panjang, saya tidak rasa ia membantu.

“Saya bukan mahu bekerja dalam bidang ini hanya dua tiga tahun. Ini sumber rezeki saya sekarang dan kalau boleh tidak mahu ia dikotorkan dengan perkara yang tidak sewajarnya,” katanya.

Fikry menjadikan pelawak, pelakon dan pengacara popular, Nabil Ahmad sebagai inspirasinya untuk terus bekerja keras.

“Saya suka melihat cara Nabil menyusun karier seninya. Saya nampak dia mempunyai perancangan yang rapi untuk terus kekal aktif dan relevan dalam industri seni.

“Saya juga berharap kehadiran akan terus konsisten dan bertahan lama,” katanya.

Bermula sebagai pelawak apabila diangkat sebagai pemenang tempat ketiga program Lawak Solo pada 2016, Fikry tidak pernah lupa dengan titik permulaannya itu dan menerima sekiranya ada tawaran lawak.

“Walaupun banyak terbabit dengan projek lakonan, saya tidak pernah lupa titik permulaan saya iaitu komedi.

“Sebenarnya, saya ingin turut serta dalam Muzikal Lawak Superstar namun terikat dengan penggambaran projek drama,” katanya.

Ditanya adakah disebabkan pakej kacak yang dimiliki menjadi penghalang untuknya menonjol di landasan komedi, Fikry berkata, rata-rata peminat adalah daripada yang menonton drama lakonannya.

“Saya tidak nafikan orang ramai kurang mengenali saya sebagai pelawak. Namun, saya tidak pernah berhenti mengasah bakat sebagai pelawak, malah dalam drama lakonan dan kerja pengacaraan pun, saya tetap selitkan unsur humor.

“Saya ada juga melakukan persembahan komedi di pentas kecil yang penontonnya kurang daripada 100 orang jika ada waktu terluang. Buat orang ketawa bukan kerja mudah terutama apabila dilakukan secara solo,” katanya.

FIKRY bersama Farah Nabilah
FIKRY bersama Farah Nabilah

SERONOK BERGANDING DENGAN NARAH NABILAH

Dalam drama terbaharu lakonannya iaitu Kau Yang Pertama, Fikry sekali lagi digandingkan dengan Farah Nabilah. Sebelum ini, mereka berjaya memberi impak positif meneruis drama Cik Reen Ngok Ngek.

Bercerita mengenai gandingannya dengan Farah, Fikry berkata, dia seronok dapat sekali lagi digandingkan dengan pelakon jelita itu.

“Saya suka bekerja dengan Farah. Dia profesional dan kami selesa digandingkan bersama. Timbul juga perasaan khuatir orang akan muak apabila kami asyik bersama, namun apa yang boleh saya janjikan, Kau Yang Pertama berbeza pengisiannya berbanding drama sebelum ini.

“Kami juga profesional ketika bekerja. Tidak dinafikan, sesetengah artis ada yang jatuh cinta ketika mereka menjalani penggambaran, tapi kami berdua awal-awal lagi sudah meletakkan had untuk perhubungan ini.

“Drama ini lebih berat. Ada usik-mengusik atau komedi ringan namun pada awal perjalanan cerita saja,” katanya.

Selepas bergerak sebagai pelakon dan pengacara, Fikry kini mencuba peluang membuka kedai gunting rambut.

Fikry menjelaskan, dia mengambil keputusan membuka kedai gunting rambut bagi menyediakan penyelesaian masalah dihadapinya sendiri setiap hari.

FIKRY (tengah, duduk) pada pembukaan kedai gunting rambut miliknya, Hair Feeks Barbershop di Danau Niaga 1, Setapak. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman.
FIKRY (tengah, duduk) pada pembukaan kedai gunting rambut miliknya, Hair Feeks Barbershop di Danau Niaga 1, Setapak. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman.

Katanya, dia berdepan masalah mencari perkhidmatan dandanan rambut lelaki sekitar ibu kota yang menyediakan pelbagai perkhidmatan selain menggunting rambut semata-mata.

Menurutnya, dia tidak pernah terfikir menjalankan perniagaan kedai gunting rambut tapi idea itu tercetus sejak setahun lalu.

“Ini kerana saya mengalami masalah mencari salun yang sesuai dengan diri. Kadang-kadang segan apabila pendandan dan tukang gunting rambut perempuan, ada masanya perempuan ada sebelah saya.

“Apabila nak buat rawatan rambut pun rasa malu, sebagai lelaki rasa tak ‘macho’. Saya tengok pun ramai perempuan, tak ramai lelaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:00 AM