GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) memaklumkan pelaksanaan ibadat korban hanya dilaksanakan di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin, hari ini.

Menurut kenyataan itu, ia meliputi urusan menyembelih, melapah, memotong, menimbang dan membungkus.

Katanya, MAINJ diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memutuskan bahawa pelaksanaan ibadat korban di masjid dan surau seluruh negeri Johor meliputi aktiviti terbabit adalah tidak dibenarkan.

"Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau yang menganjurkan ibadat korban atau pihak penganjur hendaklah berurusan dengan rumah sembelihan dan bertanggungjawab mengagihkan daging ibadat korban kepada penerima tanpa menggunakan kawasan masjid dan surau sebagai tempat agihan.

"Jawatankuasa terbabit atau pihak penganjur ibadat korban hendaklah memastikan haiwan yang hendak dikorbankan mematuhi syarak dan mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar serta arahan lain yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor," kata kenyataan itu, hari ini.

Bagi pelaksanaan ibadat korban tahun ini, pusat penyembelihan yang berdaftar sebanyak 115 rumah sembelih sementara di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan), lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.

Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar adalah tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:32 PM