TOSRIN Jarvanthi. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
TOSRIN Jarvanthi. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kulai: Tokoh dan pemimpin politik dilarang melakukan aktiviti politik seperti ceramah dan ucapan dalam masjid serta surau di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan peraturan itu dikuat kuasa.

"Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor mengambil ketetapan bahawa tidak membenarkan mana-mana pemimpin politik walaupun daripada parti kerajaan yang memerintah melakukan aktiviti politik di masjid dan surau," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Skim Bersama SIRIM@Anak Bapak Maju Enterprise, di Taman Muhibah Saleng, di sini, hari ini.

Tosrin berkata, bagaimana tiada larangan bagi pemimpin politik hadir bagi melakukan ibadah seperti bacaan Yassin.

Beliau berkata, sekiranya peraturan itu tidak dipatuhi, isu berkenaan akan dibawa ke bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk tindakan selanjutnya.

"Kita memang menetapkan tidak ada sebarang ceramah politik di masjid dan surau, dan kita akan memanggil kadi daerah yang bertanggungjawab bagi memastikan tidak ada sebarang kegiatan politik dalam kawasan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 11:49 AM