Foto hiasan
Foto hiasan
Hamzah Osman


KANAK-kanak perempuan berusia dua tahun sepuluh bulan meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta yang dipandu datuknya di Taman Sungai Raya di Langkawi dalam kejadian pada Isnin lalu.

Mangsa dikatakan ditinggalkan kira-kira dua jam oleh datuknya di dalam kereta yang parkir di luar pagar hadapan rumahnya.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu dan datuknya dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi (HL).

“Sebelum kejadian, mangsa mengikut datuknya yang berusia 73 tahun menaiki kereta untuk menjemput kakak dan abangnya pulang dari sekolah berhampiran.

“Bagaimanapun, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang bersama kakak dan abangnya dipercayai tertidur,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zainuddin berkata, datuknya terus masuk ke rumah selepas tiba di kediamannya dan beranggapan mangsa juga sudah keluar dari kereta.

“Dua jam kemudian, mangsa disedari tidak berada bersama kakak dan abangnya di dalam sebelum ibunya keluar mencari mangsa di rumah datuknya yang terletak berhampiran.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sambil tertiarap di tempat duduk penumpang belakang, sebelum dibawa ke HL dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, laporan awal menunjukkan punca kematian disebabkan strok haba dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

“Kes ini masih disiasat dan pihak polis menasihatkan kepada semua ibu bapa atau penjaga agar lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 12:38 PM