PETUGAS  melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di Kawasan Perindustrian Jalan Platinum, Pasir Gudang.
PETUGAS melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di Kawasan Perindustrian Jalan Platinum, Pasir Gudang.
Mohd Sabran Md Sani

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memeriksa 38 kilang dan mengeluarkan 37 kompaun atas kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dalam tempoh lapan hari sejak Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tindakan tegas merangkumi empat kesalahan di bawah akta berkenaan.

“Sebanyak 27 kompaun membabitkan buangan terjadual, 10 kompaun berkaitan efluen perindustrian, tiga notis bilangan dan tiga arahan perintah tahan operasi.

“Kerja penguatkuasaan terhadap kilang sudah dikenal pasti dilaksanakan JAS bagi memastikan mereka mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Mohd Khuzzan berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam tiada pesakit baharu yang dimasukkan ke dalam wad.

“Jumlah ini menjadikan keseluruhan mangsa di wad seramai empat orang sahaja dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya.

PEGAWAI Jabatan Kimia Malaysia melakukan ujian kualiti udara.
PEGAWAI Jabatan Kimia Malaysia melakukan ujian kualiti udara.

Menurutnya, JAS melakukan pemantauan kualiti udara secara berkala bagi mengesan kehadiran pencemaran gas di kawasan Pasir Gudang.

Katanya, sehingga jam 12 tengah semalam bacaan tahap kualiti udara di kawasan Pasir Gudang berada pada tahap baik.

“Polis meneruskan sekatan jalan raya sepanjang 24 jam di lokasi utama keluar dan masuk ke Pasir Gudang.

Ditanya mengenai sebuah kilang memproses sisa toksik yang diarahkan membuat pelupusan sisa toksik serta-merta seperti dilaporkan semalam, Mohd Khuzzan berkata, semua kerja pelupusan itu sudah selesai dan jumlahnya kekal kira-kira 100 tan sisa toksik sudah dihantar untuk dilupuskan ke Kualiti Alam di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:30 AM