KUCING yang dihantar di DD Setia Alam Pet Shop perlu mengikut syarat bagi menjaga kesihatan kucing lain.
KUCING yang dihantar di DD Setia Alam Pet Shop perlu mengikut syarat bagi menjaga kesihatan kucing lain.
Nur Lela Zulkipli


RATA-rata pemilik kucing sebelum ini sering berdepan dilema untuk meninggalkan haiwan peliharaan pada musim perayaan kerana perlu pulang beraya di kampung halaman selama beberapa hari.

Namun, perkara itu tidak lagi menjadi masalah besar dengan kewujudan hotel kucing yang semakin banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan khususnya di Lembah Klang.

Menawarkan layanan bak raja dengan penginapan eksklusif dan berkualiti termasuk dilengkapi sistem pendingin hawa, ianya pasti mengukir senyuman di wajah pemilik haiwan peliharaan kerana tidak perlu lagi risau keadaan dan keselamatan si bulus mereka sementara pulang beraya.

Menyedari keperluan itu, pengurus DD Setia Alam Petshop, Masnizam Mohamed Soa’aid, berusaha menyediakan pelbagai kemudahan yang boleh dinikmati haiwan seperti kucing dan arnab yang dihantar oleh pemilik mereka.

Masnizam berkata, kedai haiwan yang diuruskannya itu mempunyai dua bangunan kedai yang mana salah satunya khusus dijadikan hotel bagi menempatkan kucing dan arnab yang dihantar untuk dijaga.

“Kami di sini tidak mahu menempatkan kedai dan hotel di dalam bangunan yang sama kerana mahu menjaga keselesaan haiwan yang dihantar kerana pelanggan keluar masuk kedai setiap masa.

“Jika saya tempatkan kesemua kucing di dalam kedai, sudah tentu haiwan itu tidak selesa dengan bunyi bising serta mungkin ada pelanggan yang ingin bermain.

“Jadi, kami mahu tempat yang eksklusif untuk kucing yang dihantar selain tiada gangguan dari pihak luar. Pihak pengurusan juga lebih mudah untuk mencuci kawasan hotel setiap kali tiba waktunya,” katanya.

Menurut Masnizam lagi, dengan kos RM20 sehari bagi seekor kucing, pihaknya turut menawarkan pakej jimat bagi mereka yang mempunyai lebih dari seekor kucing.

“Dengan RM20 sehari seekor kucing, kita menawarkan hotel pendingin hawa, makanan dan pasir berkualiti percuma serta khidmat tata rias grooming kucing bergantung kepada pakej yang dipilih.

“Pendek kata, kucing yang dihantar akan dilayan bak raja dengan lima penjaga yang bersilih ganti memantau keadaan semua kucing di sini,” katanya.

Masnizam berkata, pihaknya sudah pun menerima lebih 70 tempahan bagi hotel kucing bagi musim raya ini dan pihaknya perlu menghadkannya supaya dapat menumpukan perhatian terhadap kebersihan dan kebajikan semua kucing yang dihantar.

“Di sini, seekor kucing satu sangkar. Tiada kucing yang akan berkongsi sangkar melainkan ia datang daripada pemilik yang sama.

“Ini adalah untuk menjaga keserasian antara kucing di sini kerana kita tidak mahu ada yang bergaduh.

“Jadi, setiap kucing perlu dijaga dengan teliti dan kucing yang terlalu banyak mungkin akan menyebabkan penjaga terlepas pandang kebersihan dan lain-lain,” katanya.

MASNIZAM mengeringkan si bulus selepas dimandikan.
MASNIZAM mengeringkan si bulus selepas dimandikan.

Setiap kucing yang dihantar perlu mengikuti syarat iaitu sudah divaksinkan, tidak sakit dan tiada kutu bagi menjaga kesihatan semua kucing yang dijaga.

Keistimewaan DD Setia Alam Petshop berbanding dengan kedai haiwan lain juga adalah apabila pada hari raya, penjaga dan seluruh keluarga akan turun ke hotel kucing untuk bersama menjaga kesemua kucing yang ada.

“Sudah menjadi tradisi di sini setiap kali hari raya, penjaga yang bertugas akan membawa anak dan saudara mara bersama-sama mencuci sangkar pada paginya dan memberi kucing makan.

Penjaga, Suhaili Abdul Rahim, 42, berkata, setiap tahun dia dan anak serta suami akan turut sama menjaga hotel kucing kerana baginya tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang besar.

“Apabila kita diamanahkan untuk menjaga kucing orang, kita perlu lakukannya sepenuh hati supaya kita sentiasa gembira. Alhamdulillah sejak lima tahun lalu anak dan suami faham tugas saya dan mereka sanggup bersama saya menjaga kucing di sini.

“Penjaga lain turut bersama membawa keluarga masing-masing untuk menjaga kucing sekali gus mengurangkan rasa sedih tidak dapat pulang beraya di kampung halaman,” katanya.

HOTEL kucing turut dilengkapi tempat mandi.
HOTEL kucing turut dilengkapi tempat mandi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:21 AM