VETBUS diletakkan beberapa hari di kejiranan berbeza di sekitar Istanbul. FOTO AFP
VETBUS diletakkan beberapa hari di kejiranan berbeza di sekitar Istanbul. FOTO AFP
AFP

BIMBANGKAN kucing hitam yang sering berkeliaran di kampus universitinya, Mevlude menghantarnya ke klinik haiwan jalanan dikendalikan majlis perbandaran Istanbul.

Pelawat yang menikmati keindahan kota Istanbul bukan saja terpesona dengan pelbagai masjid dan istana zaman Uthmaniyah, malah turut kagum melihat kucing serta anjing liar berkeliaran sambil ‘melepak’ selesa di mana saja termasuk restoran atau kafe.

Seperti Mevlude, ramai penduduk Istanbul sering bermurah hati membantu ‘rakan’ berkaki empat di kejiranan mereka dengan meninggalkan makanan atau menyediakan tempat berteduh di luar pintu atau di bawah tingkap rumah.

Pihak berkuasa Istanbul juga meningkatkan usaha memastikan haiwan jalanan ini sentiasa sihat, seterusnya tidak mengancam kesihatan penduduknya.

Salah satu usaha dilaksanakan adalah klinik haiwan bergerak, ‘Vetbus,’ yang diletakkan beberapa hari di kejiranan berbeza di sekitar kota itu.

DOKTOR haiwan memeriksa seekor anjing liar yang dibawa orang ramai. FOTO AFP
DOKTOR haiwan memeriksa seekor anjing liar yang dibawa orang ramai. FOTO AFP

Nihan Dincer, doktor haiwan yang bertugas dengan majlis perbandaran metropolitan Istanbul berkata: “Orang ramai membawa haiwan di kejiranan mereka untuk rawatan. Antaranya kami memberikan ubat antiparasit.

“Ini turut melindungi masyarakat daripada penyakit yang mungkin berjangkit daripada haiwan berkenaan.”

Budaya menyayangi haiwan memang diterapkan dalam masyarakat Turki yang turut dikaitkan dengan amalan Islam.

Penyelidik, Mine Yildirim berkata, pada awal kurun ke-20 dasar Barat banyak diguna pakai termasuk membunuh haiwan liar. Namun itu berubah pada 2004 apabila kerajaan meluluskan undang-undang mewajibkan pihak berkuasa tempatan menjaga haiwan jalanan.

Pihak berkuasa Istanbul, turut memiliki enam pusat kesihatan di seluruh bandar itu. Tujuannya adalah memvaksin, memandulkan dan menjaga 130,000 anjing dan 165,000 kucing jalanan Istanbul.

MESIN dispenser makanan kucing. FOTO Agensi
MESIN dispenser makanan kucing. FOTO Agensi

Semua haiwan dimuatkan dengan mikrocip sebelum dibawa semula ke tempat ia ditemui, kecuali yang sempat mendapat tuan ketika berada di klinik.

Menurut laporan, tiada satu pun kes rabies di Istanbul sejak 2016.

Penjagaan haiwan liar bukan hanya bagi yang hidup di jalanan Istanbul, malah kucing dan anjing di pinggir bandar juga tidak dilupakan.

“Haiwan yang hidup di kawasan belukar lebih sukar mendapat makanan. Jadi kira-kira satu tan makanan diagihkan setiap hari menggunakan van yang membawa makanan kering,” kata doktor haiwan, Umut Demir.

Kumpulan itu dinanti anjing dan kucing berkenaan setiap hari.

Ketua doktor haiwan di pusat kesihatan Sultangazi, Tugce Demirlek berkata, haiwan yang kenyang dan sihat akan lebih tenang serta kurang agresif.

Anak anjing atau kucing yang ditemui diperiksa dan dirawat sebelum diletakkan mikrocip supaya boleh diambil sesiapa yang berminat. Seekor anak anjing yang ditemui di tepi jalan 40 hari lalu diharap akan mendapat tuan baru.

“Dia sangat comel dan ramai peminat. Tetapi belum ada yang mahu mengambilnya. Tengoklah nasibnya bagaimana esok,” kata Dincer.

ORANG ramai sering meninggalkan makanan untuk kucing dan anjing liar di sekitar Istanbul. FOTO Agensi
ORANG ramai sering meninggalkan makanan untuk kucing dan anjing liar di sekitar Istanbul. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:43 PM