Agensi

PENDUDUK di Pakistan bebas memelihara haiwan eksotik yang diimport termasuk harimau dan singa berikutan kelonggaran undang-undang di negara itu.

Malah, pengimportan haiwan eksotik juga mudah menyebabkan sejumlah harimau dan singa dibawa masuk ke negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Ini kerana di Pakistan, spesies kucing besar adalah lambang kemewahan dan kuasa, lapor AFP.

Usahawan, Bilal Mansoor Khawaja, 29, menganggarkan kira-kira 300 singa dipelihara dalam taman, sangkar dan ladang di bandar Karachi yang didiami 20 juta penduduk.

Khawaja memiliki lebih 4,000 haiwan terdiri daripada 800 spesies. Antaranya beberapa singa, harimau, kuda belang dan burung flamingo.

KHAWAJA membelai singa peliharaannya.
KHAWAJA membelai singa peliharaannya.

Dia menegaskan, koleksi haiwan yang dipelihara sejak bertahun-tahun lalu bukan untuk ditunjuk-tunjuk sebaliknya memang terlalu sayangkan haiwan.

Usahawan itu mempunyai lebih 30 pekerja dan empat veterinar untuk menjaga haiwan peliharaan yang disimpan dalam zoo peribadi.

Khawaja menafikan mengancam haiwan eksotik kerana diambil dari habitat asal mereka, sebaliknya mendakwa generasi baharu boleh melihat haiwan berkenaan.

Media sosial Pakistan sering dipenuhi video penduduk kaya Karachi membawa singa bersiar-siar dalam kenderaan mewah.

Akhbar tempatan juga kerap melaporkan penduduk ditahan kerana membawa spesies kucing besar peliharaan berjalan-jalan di tempat awam dan dalam kereta.

Penjual haiwan eksotik Aleem Paracha mendakwa, seekor singa putih boleh dibeli dengan harga 1.4 juta rupee (RM84,434)

dalam tempoh 48 jam, termasuk permit sah daripada pihak berkuasa.

VIDEO seekor singa di belakang kenderaan pacuan empat roda
VIDEO seekor singa di belakang kenderaan pacuan empat roda

Menurut Paracha, perniagaan menternak singa Pakistan khususnya Karachi menggalakkan dan penternak boleh menyediakan haiwan itu kepada pembeli dalam notis singkat.

Bagaimanapun, lindungan terhadap spesies asli di negara itu adalah ketat, namun bukan untuk haiwan yang diimport.

Veterinar Karachi, Isma Gheewala berkata, kebanyakan singa peliharaan yang dihantar ke kliniknya kekurangan kalsium dan dia sudah merawat 100 hingga 150 spesies kucing besar.

“Tulang haiwan ini mudah rapuh dan boleh cedera walaupun melompat dari tempat rendah,” jelasnya.

KHAWAJA berkongsi gambar kuda belang peliharaannya di Instagram.
KHAWAJA berkongsi gambar kuda belang peliharaannya di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 9:30 AM