ISKANDAR Syah mempelajari ilmu asas penghibur di luar negara.
ISKANDAR Syah mempelajari ilmu asas penghibur di luar negara.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: “Saya puas kerana dapat memberi kegembiraan dan membantu kanak-kanak melupakan penderitaan mereka walaupun hanya untuk sementara,” kata Iskandar Syah Ismail, 43, yang aktif menghiburkan kanak-kanak penghidap barah dan penyakit kronik dengan menjadi badut di hospital atau lebih sinonim sebagai ‘Dr Badut’.

Iskandar yang turut dikenali sebagai ‘Dr Bubbles’ mula terbabit dengan aktiviti sukarela itu sejak 2011 dan dia tidak berseorangan sebaliknya melakukannya bersama rakan, Latfy Anuar Latif, 44.

Menurut Iskandar, minat menjadi badut timbul sejak bekerja di Majlis Kanser Nasional (Makna) dan demi mempelajari ilmu asas dan kemahiran sebagai penghibur, dia mengambil inisiatif bermula dengan mengikuti bengkel yang diadakan di luar negara.

“Ikutkan, saya mempunyai kelulusan di peringkat Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Bradford, United Kingdom (UK) namun nekad mengambil keputusan bekerja dengan Makna berbanding menjadi jurutera selepas tamat pengajian kerana minat dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Sepanjang bersama Makna saya banyak terbabit dalam menguruskan lawatan dan bertitik tolak dari situ, datang keinginan untuk menghiburkan kanak-kanak.

“Saya cuba memikirkan cara untuk menghiburkan mereka dan akhirnya timbul idea menjadi badut di wad hospital selepas melihat keberkesanan pendekatan itu di luar negara.

“Memandangkan tiada pengalaman ketika itu, saya ambil inisiatif sendiri dengan mengikuti bengkel selama seminggu di Midwest, Amerika Syarikat pada 2003, seterusnya menimba ilmu daripada pakar badut, Avner Eisenberg dua tahun kemudian,” katanya yang juga pengasas Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Buih Merah Kuala Lumpur dan Selangor.

ISKANDAR Syah menjadi  badut demi menghiburkan pesakit kanak-kanak yang menghidap barah dan penyakit kronik.
ISKANDAR Syah menjadi badut demi menghiburkan pesakit kanak-kanak yang menghidap barah dan penyakit kronik.

Iskandar berkata, kerja sukarela itu kini dilakukan setiap minggu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Hospital Selayang manakala sekali dalam sebulan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Katanya, tiada prop digunakan sepanjang kunjungannya ke wad berkenaan, sebaliknya dia menghiburkan pesakit berbekalkan ilmu dan kemahiran yang ada.

“Tugas ini tidak mudah kerana sebelum memulakan aktiviti, saya dan rakan perlu mendapatkan maklumat awal mengenai latar belakang pesakit serta penyakit dihidapi mereka daripada pegawai perubatan juga jururawat bertugas.

“Ini penting bagi memastikan pendekatan dan jenaka disampaikan tidak menyinggung perasaan mereka atau menyebabkan emosi mereka terganggu,” katanya.

Katanya, sempena Aidilfitri tidak lama lagi, persatuan akan meneruskan projek Uncang Duit Raya sebagai kesinambungan aktiviti yang diadakan sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya akan mencari dana untuk diagihkan kepada pesakit kanak-kanak di hospital bagi menceriakan mereka.

“Tahun lalu, seramai 500 pesakit menerima sumbangan duit raya menerusi projek ini dan penerimanya dari empat buah hospital iaitu PPUKM, Hospital Selayang, HSI, Johor Bahru dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 11:08 AM