PROGRAM ‘Dr Little’ @ PHKL bantu kanak-kanak atasi ketakutan di hospital.
PROGRAM ‘Dr Little’ @ PHKL bantu kanak-kanak atasi ketakutan di hospital.
Nor Faizah Mohamed

Hospital, klinik, pusat perubatan dan sebagainya sering dianggap zon larangan untuk kanak-kanak. Atas faktor keselamatan dan kebimbangan terhadap jangkitan kuman kepada si kecil, ramai yang kurang menggalakkan ibu bapa membawa anak ke kawasan itu.

Bagaimanapun, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) mengambil pendekatan berbeza dengan mendedahkan sekumpulan kanak-kanak kepada dunia perubatan.

Selain membantu kanak-kanak ini meningkatkan lagi perkembangan mentalnya dengan perkara baru, program dikenali ‘Dr Little’ @ PHKL ini membolehkan mereka memahami mengenai penyakit, ubat-ubatan, peralatan dan sebagainya.

Dengan cara ini, kanak-kanak terbabit lebih faham dan sedar dengan keadaan sekeliling mereka apabila perlu mengunjungi hospital kelak.

Seramai 120 kanak-kanak berusia lima hingga 10 tahun menyertai program ini yang kebanyakannya kurang didedahkan dengan perkara membabitkan aktiviti di hospital.

“Konsep ‘Dr Little’ @ PHKL menawarkan aktiviti yang bukan saja menyeronokkan untuk kanak-kanak, malah mencambah ilmu pengetahuan mereka mengenai bidang perubatan.

“Kanak-kanak ini berpeluang meningkatkan lagi skil sosial mereka, di samping dapat menghabiskan masa berkualiti dengan rakan sebaya.

“Wujud tujuh stesen pendidikan yang boleh diterokai mereka dan stesen ini merangkumi sebahagian besar aspek bidang kesihatan serta perubatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Anwar Anis.

Tujuh stesen itu ialah kebersihan tangan, bilik rundingan, pusat mata, pusat penjagaan bayi, dewan bedah, unit kecemasan dan unit nutrisi diet.

“Inisiatif ini cara terbaik untuk mendidik kanak-kanak dengan pelbagai peranan kakitangan perubatan di hospital yang kebanyakannya tidak tahu mengenai perkara itu.

“Selalunya mereka melihat hospital atau pusat perubatan sebagai tempat menakutkan disebabkan pengalaman lampau. Justeru, kami harap inisiatif ini dapat membantu mereka mengatasi ketakutan itu dan lebih memahami peranan hospital untuk masyarakat,” tambah Anwar.

Program itu berakhir dengan sesi graduasi dengan peserta mengenakan gaun graduan dan menerima sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 12:56 PM