Izzaddin Idris
Izzaddin Idris
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Axiata Group Bhd (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) dijangka akan memuktamadkan perjanjian mengenai cadangan penggabungan Celcom dan Digi dalam masa terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, pihaknya dan Telenor masing-masing sudah melengkapkan proses ketekunan wajar dan berharap untuk melengkapkan perjanjian terbabit secepat mungkin.

Katanya, situasi sekarang yang mana Celcom dan Digi masih menjalankan perniagaan seperti biasa dan terus bersaing di pasaran bukanlah keadaan ideal buat kedua-dua pihak.

"Kami berharap dapat menandatangani perjanjian dalam tempoh beberapa hari atau beberapa minggu lagi.

"Jangkaan sebelum ini ialah supaya ia diselesaikan pada suku kedua tahun ini, jadi kami memiliki tempoh 15 hari lagi (bermula semalam) sebelum 30 Jun.

"Selepas perjanjian dimuktamadkan, kami akan menghantar permohonan untuk penggabungan ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan proses kelulusan mungkin mengambil masa sembilan bulan," katanya pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-29 Kumpulan Axiata di sini, hari ini.

Proses penggabungan ini akan menyaksikan Axiata menerima saham Digi yang baru diterbitkan, menjadikan pegangan sebanyak 33.1 peratus bersama nilai tunai sebanyak RM2 bilion, dalam bentuk RM1.7 bilion hutang baharu dari Digi dan bakinya RM300 juta dari Telenor.

Syarikat gabungan ini akan menjadi peneraju telekomunikasi dengan menggabungkan operasi Axiata dan Telenor di Malaysia, bagi memacu perubahan negara ke arah masyarakat digital berpendapatan tinggi.

Perkara ini selaras degan usaha kerajaan Malaysia untuk mempercepat pembangunan 5G dan memberikan pengalaman dan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:16 PM