BERNAMA

Kuala Lumpur: Celcom dan Digi akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan potensi pendapatan proforma RM12.4 bilion.

Axiata Group Berhad yang memiliki Celcom dan Telenor Asia yang memiliki Digi sedang dalam perbincangan lanjut untuk penggabungan operasi Celcom dan Digi yang akan dikenali sebagai MergeCo di mana kedua-dua pihak memiliki pegangan setara sebanyak 33.1 peratus.

Axiata dan dana institusi tempatan akan memiliki 51 peratus pegangan dalam MergeCo.

Ketika ini, sidang media berkaitan penggabungan kedua-dua jenama telko itu sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Sementara itu, tengah hari tadi, dagangan saham Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd digantung sementara menunggu satu pengumuman.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kedua-dua syarikat berkata, Bursa Malaysia Securities Bhd meluluskan permintaan mereka supaya dagangan sekuriti di Pasaran Utama digantung hari ini, menunggu satu pengumuman material.

Mereka berkata, permintaan bagi penggantungan itu dibuat di bawah subperenggan 3.1(b)(i) Nota Amalan No 2 Permintaan bagi Penggantungan untuk Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Digi ditutup pada RM3.75 sesaham semalam, manakala Axiata Group berada pada RM3.80.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 2:32 PM