CELCOM dan Digi memiliki tempoh 15 hari lagi untuk memuktamadkan perjanjian mengenai cadangan penggabungan.
CELCOM dan Digi memiliki tempoh 15 hari lagi untuk memuktamadkan perjanjian mengenai cadangan penggabungan.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Axiata Group Bhd (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) dijangka akan memuktamadkan perjanjian mengenai cadangan penggabungan Celcom dan Digi dalam masa terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, pihaknya dan Telenor masing-masing sudah melengkapkan proses ketekunan wajar dan berharap untuk melengkapkan perjanjian terbabit secepat mungkin.

Katanya, situasi sekarang yang mana Celcom dan Digi masih menjalankan perniagaan seperti biasa dan terus bersaing di pasaran bukanlah keadaan ideal buat kedua-dua pihak.

"Kami berharap dapat menandatangani perjanjian dalam tempoh beberapa hari atau beberapa minggu lagi.

"Jangkaan sebelum ini supaya ia diselesaikan pada suku kedua tahun ini, jadi kami memiliki tempoh 15 hari lagi (bermula semalam) sebelum 30 Jun.

"Selepas perjanjian dimuktamadkan, kami akan menghantar permohonan untuk penggabungan ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan proses kelulusan mungkin mengambil masa sembilan bulan," katanya pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-29 Kumpulan Axiata di sini, semalam.

Proses penggabungan ini akan menyaksikan Axiata menerima saham Digi yang baru diterbitkan menjadikan pegangan sebanyak 33.1 peratus bersama nilai tunai sebanyak RM2 bilion, dalam bentuk RM1.7 bilion hutang baharu dari Digi dan bakinya RM300 juta dari Telenor.

Syarikat gabungan ini akan menjadi peneraju telekomunikasi dengan menggabungkan operasi Axiata dan Telenor di Malaysia, bagi memacu perubahan negara ke arah masyarakat digital berpendapatan tinggi.

Perkara ini selaras dengan usaha kerajaan Malaysia untuk mempercepat pembangunan 5G dan memberikan pengalaman dan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi.

Sehubungan itu, gabungan syarikat ini akan dilihat sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi terunggul di Malaysia dalam bentul nilai, pendapatan dan keuntungan, dengan pendapatan proforma sekitar RM12.4 bilion, Pendapatan Sebelum Bunga, Pajak, Susut Nilai dan Amortisasi (Ebitda) prasinergi entiti gabungan sekitar RM5.7 bilion dan dianggarkan sejumlah 19 juta pelanggan.

Axiata dan Telenor juga bersepakat untuk membangunkan Pusat Inovasi bertaraf antarabangsa sebagai pemangkin transformasi digital IR4.0, pembangunan 5G dan pelbagai teknologi maju lain.

Pusat Inovasi ini akan turut memainkan berfungsi sebagai tempat menaik taraf kepakaran pekerja bagi masa hadapan.

Kedua-dua pihak akan berusaha memuktamadkan perjanjian berkaitan penggabungan dalam suku kedua tahun ini menuruti usaha wajar yang dilakukan.

Penggabungan ini juga tertakluk kepada persetujuan pemegang saham Celcom dan Digi, kelulusan pihak berkuasa dan lain-lain syarat atau terma.

Axiata mengakhiri AGM ke-29 dengan pemegang saham menyatakan sokongan terhadap usaha kumpulan dalam merealisasikan visi dan strategi Axiata 5.0nya.

Pemegang saham mengakui usaha kumpulan untuk mendorong prestasi dan pertumbuhan tahap berikutnya melalui pelaksanaan yang berdisiplin dalam mewujudkan Next Generation Digital Champion menjelang 2024.

Semua 12 resolusi yang dibentangkan pada AGM juga berjaya diluluskan.

Walaupun terdapat tekanan persaingan yang intensif di seluruh pasarannya dan cabaran yang berkaitan dengan wabak yang berlarutan, Axiata mengakhiri tahun lalu dengan pendapatan tetap bernilai RM24.2 bilion (-1.5 peratus), Ebitda sebanyak RM10.7 bilion (+0.4 peratus) dan aliran tunai operasi percuma sebanyak RM3.3 bilion (+73.1 peratus).

Sejajar dengan itu, Axiata mencatat kunci kira-kira yang kuat dengan baki tunai tinggi pada RM7.2 bilion.

Prestasi baik tahun ini memberikan pembayaran dividen yang berhemat sebanyak 7.0 sen dividen sesaham bagi tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:01 AM