SITI Rahayu (dua dari kiri) serta tenaga pengajar lain, Nor Zainah (dua dari kanan) mengajar kanak-kanak istimewa dan kurang berkemampuan.
SITI Rahayu (dua dari kiri) serta tenaga pengajar lain, Nor Zainah (dua dari kanan) mengajar kanak-kanak istimewa dan kurang berkemampuan.
Redzuan Muharam


PENGALAMAN lapan tahun sebagai guru dan pengetua tadika mendorong ibu lima enak, Siti Rahayu Mohd Sukis, 36, membantu anak istimewa dengan menjadi tenaga pengajar dan pegawai di bawah Pertubuhan Amal Komuniti Bersaudara (BAKABS) sejak Januari lalu.

Siti Rahayu berkata, meskipun tiada pengalaman mengajar anak istimewa, dia bersyukur kerana menganggap pembabitannya dalam pertubuhan itu peluang terbaik dalam mendekati golongan kurang bernasib baik.

Malah, pengalaman sebagai guru dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak diakui membantu dirinya melaksanakan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar walaupun tidak pernah mengajar anak istimewa sebelum ini.

Bercerita lanjut, Siti Rahayu berkata, kelas itu diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat dan setakat ini membabitkan kanak-kanak berumur empat hingga tujuh tahun.

Menurut Siti Rahayu, sesi pengajaran dan pembelajaran memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu membaca serta menulis.

“Ketika di kelas, saya perlu mengajar menggunakan pendekatan berbeza kerana mereka terdiri daripada pelbagai kategori antaranya disleksia.

“Pada awalnya agak mencabar kerana tahap mereka tidak sama seperti kanak-kanak biasa, jadi untuk memperkenalkan huruf sekalipun bukanlah satu tugas mudah.

“Namun, saya cuba selitkan aktiviti nyanyian dan mewarna bagi menjadikan pembelajaran dalam kelas lebih menyeronokkan,” katanya yang sudah lebih setahun bergelar ibu tunggal.

Siti Rahayu berkata, selain mengajar anak istimewa, dia turut berpeluang bertemu dengan komuiniti setempat menerusi pelbagai aktiviti dirancang bersama dengan pengasas BAKABS, Mohd Syukri Yahya, 36, pegawai dan Naib Setiausaha BAKABS Yaacub Kassim, 51, serta ahli lain yang bernaung di bawah pertubuhan.

Katanya, peluang itu digunakan sebaiknya untuk berkongsi pengalaman seterusnya memberi sokongan moral terutama kepada mereka yang senasib dengannya iaitu golongan ibu tunggal.

YAACUB  (kiri), Nor Zainah, Siti Rahayu (dua dari kanan) dan  Mohd Syukri  (kanan) di hadapan pejabat BAKABS di Pangsapuri UKM, Taman Tenaga.
YAACUB (kiri), Nor Zainah, Siti Rahayu (dua dari kanan) dan Mohd Syukri (kanan) di hadapan pejabat BAKABS di Pangsapuri UKM, Taman Tenaga.

“Selain memikirkan cara untuk membantu mereka, saya turut berkongsi dan bertukar pengalaman yang ada supaya mereka terus positif menjalani hari mendatang.

“Bagi saya, ini satu pengalaman yang berharga dan di dalam pertubuhan, kita tidak memainkan satu peranan saja sebaliknya saling melengkapi dengan membantu satu sama lain dalam segala aspek diperlukan.

“Setakat ini, anak-anak tidak menghalang sebaliknya memberi sokongan malah ada kalanya, mereka menemani saya ke kelas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Syukri selaku pengasas pertubuhan berkata, BAKABS ditubuhkan Mac tahun lalu sebelum didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada Ogos.

“Buat masa ini, BAKABS beroperasi di Pangsapuri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Taman Tenaga, Bangi dengan bantuan 20 ahli yang aktif dan Siti Rahayu salah seorang daripadanya yang dipelawa menyertai pertubuhan kerana berpengalaman sebagai guru.

“Pada awalnya, kami giat membantu menerusi komuniti kurang bernasib baik di Bangi namun kini memperluaskan inisiatif di sekitar Selangor.

“Selain ahli, dana diperoleh daripada sumbangan orang ramai dan selain kelas untuk anak istimewa serta penyampaian bantuan, terdapat beberapa inisiatif bakal dilaksanakan dalam waktu terdekat.

“Antaranya adalah khidmat pengangkutan percuma ke hospital untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan di sekitar Bangi dan kawasan berhampiran selain membuka sekolah khusus bagi anak istimewa yang masih tidak bersekolah dalam tempoh setahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 8:01 AM