PERBINCANGAN dalam bentuk kumpulan.
PERBINCANGAN dalam bentuk kumpulan.
Nurul Husna Mahmud

Kelihatan seperti individu normal, golongan kurang upaya pendengaran tidak tampak kekurangannya sehinggalah mereka bertutur atau berbual dengan orang lain.

Ahli keluarga rasanya masih mampu untuk menangkap apa yang cuba mereka sampaikan namun bagi orang awam pastinya ia menjadi cabaran besar.

Malah pengalaman penulis sendiri, tanpa ‘medium’ sesuai proses berinteraksi dengan golongan inklusif ini amatlah sukar dan biasanya hanya dapat meneka menerusi gerak tubuh dan gaya. Namun banyak telahan yang tidak tepat dan pastinya ia memberi kesan kepada atmosfera perbualan termasuk ‘mood’ mereka yang berbual itu sendiri.

Sebaik-baiknya masyarakat umum perlulah cuba menambah ilmu dan melengkapi diri dengan kemahiran asas dalam penguasaan bahasa isyarat dalam membantu mewujudkan persekitaran kondusif selain perspektif baik mengenai golongan istimewa itu.

Langkah itu diambil Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya bersama Bahasa Isyarat Malaysia (MSL) menerusi penganjuran kelas bahasa isyarat percuma di Putrajaya baru-baru ini dengan harapan lebih ramai anggota masyarakat mempunyai kemahiran berbahasa isyarat meskipun sekadar tahap asas.

DEMONSTRASI berlangsung membantu pemahaman lebih jitu.
DEMONSTRASI berlangsung membantu pemahaman lebih jitu.

Program berkenaan yang mendapat penyertaan 100 peserta yang terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak bukan saja dari sekitar Putrajaya. Malah ada yang tinggal di Shah Alam dan Kuala Lumpur. Jangan terkejut jika ada peserta yang sanggup ‘terbang jauh’ dari Sarawak semata-mata mahu mengikuti kelas berkenaan dan secara tidak langsung menunjukkan sokongan terhadap usaha mengetengahkan kemahiran yang amat penting itu. Sambutan itu juga menandakan wujudnya keperluan untuk memperluaskan ilmu berbahasa isyarat.

Menurut Presiden Kelab Komuniti Prihatin Putrajaya Khaidir Zakaria, pihaknya tidak menyangka sambutan daripada orang awam yang sangat menggalakkan meskipun ia julung kali diadakan.

“Program yang berlangsung selama dua jam ini iaitu bermula jam 8 hingga 10 malam berlangsung di Dewan Solat Tambahan Lelaki, Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. Pada mulanya kami mahu mencari program pendidikan bersesuaian dengan anak didik yang sudah mengikuti kelas tambahan kendalian komuniti kami.

“Kalau sebelum ini program kami lebih tertumpu kepada kemahiran membaca, penguasaan ilmu Matematik dan mata pelajaran tertentu bagi membantu kelangsungan mereka di sekolah, kali ini kami ingin keluar dari zon selesa apabila menganjurkan program bahasa isyarat.

“Kami berpendapat, adalah penting untuk mendedahkan mereka dengan pelbagai bentuk pengetahuan dalam membantu pelajar ini memahami golongan kurang upaya terbabit. Setidak-tidaknya anak ini mempunyai kemahiran yang dapat membantu mendekatkan mereka dengan golongan terbabit tanpa sikap prejudis,” katanya.

INTERAKSI langsung membabitkan peserta dan tenaga pengajar.
INTERAKSI langsung membabitkan peserta dan tenaga pengajar.

Ibarat melentur buluh daripada rebungnya, kata Khaidir, sebaik-baiknya kemahiran bahasa isyarat ini perlu didedahkan seawal usia kanak-kanak agar mereka dapat memahami kepentingan bahasa itu dalam membantu golongan istimewa.

“Kami mendapat sokongan kumpulan SINGON diketuai Mohd Armi Rusli iaitu pengajar bahasa isyarat sepenuh masa yang berpengalaman mengajar masyarakat umum dalam penguasaan asas bahasa isyarat terbabit.

“Nyata pengalaman sulung kanak-kanak berkenaan dilihat memberi keseronokan dan teruja dapat mengetahui kaedah mudah dalam menggunakan medium terbabit,” katanya.

Mohd Armi Rusli berkata, dia memulakan program mendekati masyarakat sejak 2013 melalui kursus pendek mahupun projek komuniti untuk memperkenalkan bahasa isyarat kepada umum.

SESI berlangsung secara intensif membabitkan seorang guru bersama pelajar dalam kumpulan kecil.
SESI berlangsung secara intensif membabitkan seorang guru bersama pelajar dalam kumpulan kecil.

“Dalam bengkel ini, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memudahkan sesi pembelajaran berlangsung. Saya dibantu enam rakan sukarelawan yang juga anak murid terlatih dan berpengalaman.

“Kami menggunakan pendekatan dua hala iaitu teknik soal jawab. Interaksi dua pihak ini penting kerana menggalakkan peserta membabitkan diri secara aktif dalam komunikasi.

“Tanpa komunikasi atau interaksi aktif ini, saya khuatir peserta terutama kanak-kanak tidak dapat menguasai tahap asas bahasa isyarat ini selain mudah lupa.

“Selain itu kami bahagikan juga kepada kumpulan kecil mengikut pada tahap untuk mengelak ada yang keciciran ketika sesi pengajaran berlangsung. Pengenalan awal meliputi pengenalan kepada abjad, nombor dan perkataan ringkas yang sering digunakan golongan istimewa terbabit dalam pergaulan seharian mereka.

“Setidak-tidaknya kemahiran ini dapat digunakan untuk membantu golongan berkenaan selain mewujudkan interaksi harmoni antara orang biasa serta mereka mempunyai masalah cacat pendengaran,” katanya.

KANAK-kanak mengikuti kelas dapat pendedahan awal.
KANAK-kanak mengikuti kelas dapat pendedahan awal.

Kata Armi lagi, seperti penguasaan bahasa lain, bahasa isyarat juga memerlukan individu mengulang dan berlatih dalam menguasai bahasa terbabit.

“Tiada jalan pintas dalam menguasai bahasa ini. Daripada asas mereka perlu kerap mengulang dan berlatih untuk ingat semua abjad dan nombor termasuklah perkataan.

“Kalau mereka berhasrat untuk lebih mahir atau fasih, sebaik-baiknya hadiri kelas lanjutan yang membabitkan konsep pembelajaran satu pengajar satu murid. Biasanya untuk kelas sedemikian diberikan buku rujukan dan dikenakan yuran,” katanya.

Dia yang juga mempunyai masalah pendengaran berkata, tentu saja dia mahu lebih ramai mempelajari bahasa berkenaan. Atas kesedaran itu sejak 2003 dia dan rakan NGO berkaitan mempergiatkan usaha menganjurkan kelas percuma untuk menarik penyertaan orang ramai.

KHAIDIR (kiri) menyerahkan cenderahati penghargaan kepada Armi.
KHAIDIR (kiri) menyerahkan cenderahati penghargaan kepada Armi.

“Saya sudah bermula sejak 2003 dengan rakan NGO pekak lain. Tetapi 2013 saya berhenti kerja dan kembali aktif sebarkan ilmu dan program kesedaran seperti ini. Saya bermula dengan mengajar bahasa isyarat secara percuma kepada institusi berminat.

“Alhamdulillah masuk tahun ini, sambutan semakin memberangsangkan yang menunjukkan kesedaran masyarakat nampaknya semakin meningkat terhadap kepentingan penguasaan bahasa isyarat ini,” katanya.

Bagi tahun ini pihaknya melancarkan program #SIGNON2018 yang berlangsung pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan dan program berkenaan boleh diikuti menerusi Facebook @Malaysian Sign Language.

SEBAHAGIAN peserta menyertai program asas bahasa Isyarat.
SEBAHAGIAN peserta menyertai program asas bahasa Isyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:46 AM