Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan caruman minimum KWSP untuk kedua-dua syer pekerja dan majikan akan diselaraskan pada gaji RM1,100 untuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bermula 1 Januari 2019.

Ketika ini, caruman minimum KWSP adalah untuk gaji sebanyak RM1,000.

Melalui pelaksanaan berkenaan, caruman minimum sebanyak RM264 dijangka diterima daripada setiap pekerja yang mendapat gaji bulanan, tertakluk kepada khidmat penuh selama sebulan.

Caruman minimum yang berbeza bagaimanapun akan membabitkan ahli yang menerima bayaran gaji pada asas mingguan, harian atau jam.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, upah yang rendah terutama dalam kalangan berpendapatan rendah adalah punca utama pekerja Malaysia bersara dengan simpanan tidak mencukupi.

“Penyelarasan gaji minimum ini akan membantu ahli KWSP untuk mempunyai simpanan mencukupi bagi persaraan mereka serta mengukuhkan ketahanan kewangan masa depan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, notis mengenai perkara itu sudah dihantar kepada semua majikan yang berdaftar di bawah KWSP dan pihaknya akan bekerjasama dengan majikan bagi memastikan pelaksanaan caruman minimum ini berjalan lancar.

“Kami yakin majikan akan menerima manfaat jangka panjang kerana ia boleh membantu meningkatkan produktiviti, kesetiaan pekerja serta bertindak sebagai insentif kepada pekerja untuk melakukan yang terbaik untuk organisasi mereka,” katanya.

Daripada 7.11 juta ahli aktif dalam KWSP, seramai 1.64 juta atau 23 peratus mencarum kurang daripada gaji minimum semasa sebanyak RM1,000 di mana caruman bulanan rendah menjadi faktor utama ramai ahli tidak mencapai simpanan persaraan mencukupi.

Mengikut statistik KWSP, seramai 64 peratus ahli yang telah mencapai umur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM50,000 di mana ia dilihat sangat sedikit berbanding kenaikan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 12:00 PM