AMEERA Khan
AMEERA Khan
Ramlah Zainal


PASTI ramai yang mengenali adik kepada usahawan dan selebriti popular Neelofa, Ameera Khan, 18, atau lebih dikenali dengan nama Little Miss Khan di Instagram.

Ameera turut terkena tempias populariti kakaknya apabila setiap komen dan kritikan panas dilontarkannya di media sosial sebelum ini menjadi topik hangat netizen hingga menaikkan nama dan popularitinya.

Kini, Ameera antara Instafamous paling menyerlah dan sudah memiliki sejuta pengikut di Instagram.

Selain dikenali sebagai vlogger YouTube melalui saluran Little Miss Khan sejak 2015, Ameera juga mengorak langkah dengan mengeluarkan jenama kosmetik sendiri sejak tahun lalu.

Ameera juga digelar ‘The Next Kardashians’ oleh netizen kerana gaya hidupnya saling tidak ubah seperti ahli keluarga selebriti terkenal Hollywood, Kardashians iaitu Kylie Jenner.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Nur Ameera Khan ini mahu membina nama dan jenamanya sendiri tanpa menumpang nama besar keluarganya.

“Mungkin orang menganggap saya sudah memiliki semuanya, tetapi hakikatnya saya juga mempunyai impian dan cita-cita untuk berjaya dalam karier serta perniagaan.

“Maklumlah, saya dibesarkan dalam keluarga yang menceburi bidang perniagaan sejak dulu. Selain ‘daddy’, mama juga bermula dengan menjual tudung dari rumah. Oleh itu, kejayaan perniagaan ahli keluarga terutama kakak, Neelofa banyak memberi saya inspirasi untuk menceburi bidang perniagaan dan memiliki jenama kosmetik sendiri,” katanya.

Bukan saja dalam perniagaan, Ameera juga mahu mengikut jejak Neelofa dalam bidang pengacaraan tahun ini.

“Saya tidak kisah jika orang kata mahu menumpang nama Neelofa kerana sebagai adik, saya cukup bangga dengan kejayaannya.

AMEERA pernah mendapat tawaran mengacara tetapi menolaknya kerana usia masih muda.
AMEERA pernah mendapat tawaran mengacara tetapi menolaknya kerana usia masih muda.

“Saya tidak mahu nama dikenali di Instagram saja. Pada usia sekarang, saya percaya sampai masanya untuk mengembangkan bakat dalam cabang seni pengacaraan yang diminati sejak dulu.

“Contohnya, Neelofa yang juga pengacara MeleTop tetapi masih boleh fokus dengan perniagaannya. Tiga tahun lalu saya dapat banyak tawaran untuk mengacara program televisyen termasuk travelogue tetapi terpaksa menolaknya kerana belum bersedia disebabkan masih terlalu muda,” katanya.

Ditanya mengenai program yang diminati pula, Ameera berkata, dia mahu mencabar diri mengacarakan program hiburan seperti MeleTop.

“Selain program MeleTop, saya juga meminati program berbentuk majalah seperti Nona yang pernah dikendalikan Neelofa sebelum ini. Sebenarnya, dia yang banyak memberi dorongan dan semangat untuk saya menceburi bidang pengacaraan. Namun, ia bergantung pada tawaran program yang datang nanti,” katanya.

Mengenai persiapan untuk menceburi bidang pengacaraan pula, kata Ameera, dia kini mahu memperbaiki kelemahannya yang kurang fasih berbahasa Melayu.

“Maklumlah, saya juga bercakap dialek Kelantan dan bahasa Inggeris di rumah dengan keluarga serta kawan. Bagaimanapun, saya sanggup belajar untuk memperbaiki bahasa Melayu dan kelemahan sedia ada dalam mengejar cita-cita sebagai hos yang berjaya pada masa depan,” katanya.

Tidak takut kontroversi

Seperti kakaknya, Ameera juga tidak takut dilanda gosip mahupun kontroversi dalam dunia seni tanah air.

“Dia juga pernah berdepan dengan pelbagai kontroversi sepanjang berkecimpung dalam dunia seni dan perniagaan sebelum ini. Saya cukup kagum kerana dia wanita yang sangat kuat berdepan segala cabaran. Apa yang dikecapinya hari ini berkat kerja kerasnya sendiri tanpa bergantung kepada keluarga,” katanya.

Menurut Ameera, Neelofa yang mula memperkenalkan Instagram kepadanya pada usia 13 tahun. Dia yang mula-mula membuka akaun Instagram dan mengajar saya untuk memuat naik gambar ketika mula-mula terbabit dalam dunia media sosial,” katanya.

Sesuai dengan peningkatan usia, Ameera mengakui kini semakin matang ketika membalas komen netizen di laman sosial.


“Jika dulu, saya sangat lantang bersuara dan pantang dikritik tapi kini tidak lagi. Saya melihat setiap kecaman netizen dari sudut positif dan tidak cepat melatah. Kini, saya mahu sebarkan mesej positif dan menjadi ikon pada generasi muda.

“Pada pemerhatian saya, ramai pengikut yang suka dengan gaya hidup yang dikongsi di Instagram terutama aspek penampilan, alat solek dan fesyen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ameera juga sudah mampu berbangga dengan produk kosmetiknya yang diusahakan sejak 8 Mei 2018.

“Saya sangat meminati alat solek dan suka mengumpul pelbagai jenis alat solek sejak dulu. Saya juga mendapat inspirasi daripada Kylie Jenner untuk menghasilkan alat solek ini seperti pembayang mata, pemerah pipi, pengilat bibir dengan harga mampu milik.

“Ia dihasilkan selepas kajian selama dua tahun dan formula dari Perancis. Alhamdulillah, produk kosmetik ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna. Saya juga merancang muncul dengan koleksi baru dengan warna berbeza selepas ini,” katanya yang turut merancang membawa produk itu ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:00 AM