Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENGANGGUR warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin, hari ini, atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Amirul Abdullah, 23, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Siti Masitah Ibrahim yang juga kanak-kanak warga Kemboja antara 5.50 petang hingga 8 malam di kawasan padang ragut Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, 30 Januari lalu.

Tertuduh yang hadir memakai baju T hitam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri, sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Majistret kemudian menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mayat Siti Masitah ditemui kira-kira 4 Petang, 9 Februari lalu dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah dibunuh dalam tempoh lebih seminggu.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 5 petang, 30 Januari lalu sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan dilapor berkata, suspek lelaki berusia 23 tahun ditahan pada 2 pagi, 31 Januari lalu bagi membantu siasatan kehilangan Siti Masitah sebelum dia mengaku membunuh mangsa akibat dendam.

Hasil bedah siasat mendapati Siti Masitah mengalami kecederaan parah di kepala yang membawa kepada kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:08 AM
Mohd Amirul (dua dari kiri) dibawa ke mahkamah atas tuduhan membunuh Siti Masitah. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Mohd Amirul (dua dari kiri) dibawa ke mahkamah atas tuduhan membunuh Siti Masitah. FOTO Muhd Asyraf Sawal.