NABILA RAZALI. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
NABILA RAZALI. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syafil Syazwan Jefri

DIKURNIAKAN rezeki dua kali mengerjakan umrah, penyanyi Nabila Razali, 27, mendapat banyak pengalaman baru.

Pertama kali Nabila menjejakkan kaki di Makkah ialah ketika dia berusia 12 tahun.

Berkongsi pengalamannya, penyanyi lagu Vroom Vroom ini ada kisah mencuit hati ketika berada di Makkah.

“Tentunya, selepas 15 tahun banyak perubahan yang berlaku di sana dan saya pun sudah dewasa,” katanya.

Menurut Nabila, ketika ke sana baru-baru ini, timbul rasa sebak ketika menatap Kaabah depan mata.

“Waktu pertama kali ke sana, memang rasa seronok tapi faham-fahamlah, saya pun masih kanak-kanak ketika itu.

“Apabila sekali lagi menjejakkan kaki ke sana dan dapat menatap Kaabah, perasaannya bercampur baur antara gembira, teruja dan sebak,” katanya.

Nabila berkata, dia sangat gembira kerana satu daripada impiannya berjaya direalisasikan.

“Saya menyimpan impian membawa ibu bapa mengerjakan umrah. Alhamdulillah, saya diberikan rezeki oleh Allah dan berpeluang membawa mereka ke sana.

“Dulu, saya ada banyak masa tapi tidak cukup dari segi kewangan. Jadi, sekarang alang-alang ada rezeki, saya bawa mereka bersama,” katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di sana juga dia sangat tenang tanpa sebarang gangguan.

“Dua minggu di sana adalah tempoh paling tenang dan terbaik yang saya rasakan sepanjang hidup saya. Sepanjang bergelar artis, rasanya tempoh itu adalah masa untuk berehat daripada pelbagai perkara membabitkan kerja,” katanya.

Ditanya sama ada dia bertemu dengan peminat ketika berada di Makkah, Nabila punya kisah mencuit hati.

“Saya bertemu seorang wanita di sana dan dia menegur saya. Katanya, wajah saya seiras dengan Nabila Razali. Saya cuma tersenyum dan mengiakan kata-katanya.

“Lama juga dia berbual dengan saya. Akhirnya, saya mengaku sayalah Nabila Razali tetapi dia tidak percaya,” katanya.

Lebih mencuit hati, wanita yang juga seorang guru itu mengambil gambar dengannya.

“Dia bergambar dengan saya kerana katanya nak beritahu rakan yang dia bertemu dengan klon Nabila Razali,” katanya.

Seronok lumba kereta

Bagi peminat penyanyi dan pelakon ini, tentunya sedia maklum Nabila juga aktif dalam aktiviti permotoran bersama Toyota Gazoo Racing.

Menurutnya, walaupun acara itu akan berakhir April ini, dia tidak akan berhenti untuk terbabit dalam aktiviti permotoran.

“Alang-alang menyertai aktiviti permotoran ini, rasanya saya tidak akan berhenti. Toyota Gazoo Racing sebenarnya banyak membuka ruang kepada saya untuk meneroka kemampuan saya. Jadi, sukan permotoran kini menjadi satu lagi minat saya,” katanya.

Nabila kini berada di Pulau Pinang untuk menyertai perlumbaan ketiga yang akan berlangsung hari ini sehingga Ahad ini.

Selain itu, dia juga memberi tumpuan mempromosikan single terbarunya, Vroom Vroom yang video muziknya sudah mendapat 3.3 juta tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 6:00 AM