Nabila Razali.
Nabila Razali.
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali memaklumkan selepas 'berpisah' dengan pengurus, Mohd Asrul Talib atau Ash, karier seninya kini diuruskan sepenuhnya di bawah pengurusan Nabila Razali Entertainment (NRE).

Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 30, berkata, setakat ini perancangan karier seninya masih berjalan lancar seperti direncanakan mengikut jadual.

"Pengurusan NRE ada 'team' dan kakitangan sendiri yang menguruskan kerjaya seni saya dan setakat ini tiada masalah.

"Namun, saya masih mencari seseorang yang boleh beri 'direction' pada karier seni dan jika ada rezeki, Insya-Allah, saya akan dapat jumpa orang itu pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas menjayakan Konsert Mega Suria yang berlangsung di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.

Pada malam konsert itu, Nabila juga menghiburkan penonton menerusi tiga lagu iaitu Vroom Vroom, Pematah Hati dan Peluang Kedua.

Ditanya sama ada dakwaan dirinya sudah bertunang yang heboh diperkatakan itu turut menjejaskan tumpuannya pada karier seni, Nabila menafikannya.

Katanya, dia masih aktif memenuhi undangan berlakon dan nyanyian seperti biasa.

"Saya tiada masa untuk fikir cerita atau gosip yang boleh jejaskan tumpuan pada karier nyanyian dan lakonan. Terbaru, saya akan melancarkan lagu duet bersama kumpulan Imsomniacks berjudul Cerita Kita yang akan dilancarkan pada 22 September ini.

"Selain itu, drama terbaru lakonan Luruhnya Bunga Cinta yang juga adaptasi dari drama Korea Autumn In My Heart akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 19 September ini untuk Slot Akasia TV3," katanya.

Terdahulu, Nabila juga mengumumkan menerusi perkongsian di Instagram, Asrul yang sudah bekerjasama dengannya selama tujuh tahun tidak lagi menguruskan karier seninya itu.

Single terbaharunya Cerita Kita juga adalah kerjasama terakhir Nabila dan Asrul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 3:11 PM