NABILA Razali berkongsi saat paling tenang buat dirinya sepanjang dua minggu menunaikan umrah. FOTO Ihsan Nabila Razali
NABILA Razali berkongsi saat paling tenang buat dirinya sepanjang dua minggu menunaikan umrah. FOTO Ihsan Nabila Razali
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali, 27, menyimpan impian untuk membawa peminatnya ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat umrah.

Menurutnya, sekiranya ada rezeki lebih, dia ingin berkongsi dengan peminatnya.

“Baru-baru ini, saya diberikan rezeki dan peluang untuk membawa ibu bapa ke Tanah Suci. Insya-Allah, kalau ada rezeki selepas ini saya nak bawa adik-beradik pula.

“Selepas itu, sekiranya ada rezeki lebih lagi di masa depan, saya nak bawa peminat pula untuk bersama menunaikan umrah,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia tidak mahu berkira kerana itu adalah benda baik.

“Kalau Allah kurniakan rezeki kepada saya, apa salahnya berkongsi dengan orang lain, tak rugi pun,” katanya.

Nabila berkata, sepanjang berada di sana selama dua minggu, fikirannya sangat tenang.

“Saya tak pernah rasakan ketenangan seperti yang dapat selama dua minggu di sana.

“Sepanjang bergelar artis sejak beberapa tahun lalu, itu adalah dua minggu yang paling tenang buat diri saya,” katanya.

Terbaru, Nabila yang sudah seminggu pulang ke tanah air kembali mempromosikan single barunya, Vroom Vroom selain menyertai aktiviti permotoran Toyota Gazoo Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 2:09 PM