NABILA ambil setiap peluang dalam industri seni bukan sekadar suka-suka atau sebab wang. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
NABILA ambil setiap peluang dalam industri seni bukan sekadar suka-suka atau sebab wang. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Amirul Haswendy Ashari


PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali, 27, menganggap pintu rezeki untuk mencuba bidang lain sentiasa ada.

“Saya gembira apabila orang nampak bakat yang saya sendiri tidak nampak, contohnya sukan lumba kereta. Siapa sangka, saya boleh terbabit dalam dunia sukan itu yang sebelum ini didominasi lelaki,” katanya.

Baginya, aktiviti itu juga satu peluang yang tidak akan ditolak dan susulan itu, dia turut dilantik sebagai wakil Toyota Gazoo Racing.

Begitu juga ketika mula-mula diberi peluang berlakon dalam telefilem suatu ketika dulu.

Antaranya selepas telefilem Lelaki Kelas Sebelah popular, semakin ramai yang menyedari kehadirannya.

“Saya ambil setiap peluang bukan sekadar suka-suka atau sebab wang, sebaliknya kerana minat. Malah saya juga banyak bertanya me­ngenai dunia lakonan kepada mereka yang berpengalaman kerana tidak mahu lakukan sambil lewa, saya nak buat betul-betul!” katanya.

Dia yang dikenali melalui lagu Cumi Cumi sebelum ini berkata, paling penting adalah apa saja kerja yang dibuat perlulah memberi impak tersendiri.

Nabila turut memberi contoh pembabitan dalam bidang muzik kerana umum tahu caranya melancarkan single baharu sentiasa ‘unik’ dengan gimik dan kejutan.

“Muzik saya ada cara tersendiri dan ramai tahu bagaimana saya lancarkan single baharu kerana saya anggap penting untuk memberitahu peminat muzik, saya akan keluar lagu baru, bukan sekadar memberitahu.

NABILA banyak bertanya mengenai dunia lakonan kepada mereka yang berpengalaman kerana tidak mahu lakukan sambil lewa.
NABILA banyak bertanya mengenai dunia lakonan kepada mereka yang berpengalaman kerana tidak mahu lakukan sambil lewa.

“Saya cuba menggunakan pendekatan lain supaya peminat perlu dengar dan gimik bukan perkara negatif tapi ia satu bentuk kesedaran agar orang nampak kewujudan kita,” katanya.

Antara gimik terbaharu ialah apabila dia memadam beberapa gambar dalam media sosial miliknya lantas menimbul persoalan kepada peminat.

Katanya, selain mendapat jumlah dan nombor bagus, dia turut mendapat perhatian peminat yang memberi reaksi positif terhadap single terbaharu berjudul Vroom Vroom.

Dia mendedahkan ada peminat yang menghantar direct message (DM) yang berkongsi video nyanyian mereka sebagai tanda me­nyukai lagu baharunya itu.

Nabila turut akui kesukaran mencipta kejutan baharu kerana perlu pastikan ia tidak diulang.

“Soalan begini adalah sukar untuk pasukan saya kerana kami sentiasa ‘brainstorm’ supaya tidak mengulang gimik sama.

“Ya, memang mencabar tapi saya percaya pada muzik saya dan masa sama kena ada ‘spark’ untuk orang tahu, ini adalah saya!” katanya.

Dia juga bersyukur tahun ini adalah tahun yang terbaik buatnya setakat ini kerana turut dilantik menjadi duta beberapa program lain. Malah, selepas Aidilfitri tahun ini, dia dalam perancangan untuk menyertai bidang perniagaan pula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 5:00 AM