Zaid Salim


“KAMI akan kenang Allahyarham sebagai sahabat walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain,” kata Mohd Amiro Hafizol Zukafli yang ditemui ketika menziarahi pusara Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd Bari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Amiro Hafizol, 29, antara lima wira dalam insiden di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, Jumaat lalu kerana keberanian mereka menyelamatkan nyawa lima sekeluarga yang nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dinaiki meluncur sebelum terjunam ke sungai pada 9.40 malam.

Terdahulu, Mohd Amiro Hafizol bersama Saiful Anuar Mohd, 37; Shahrul Mizan Harun, 34 dan Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, meluangkan masa hampir satu jam di pusara berkenaan.

Turut bersama empat wira terbabit adalah bapa dan adik Allahyarham, Mohd Mustafa, 66, dan Ahmad Lutfi, 21.

Bagaimanapun, Omar Abdul Aziz Othman, 27, yang juga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu tidak bersama kerana ada urusan di Putrajaya.

Menurut Mohd Amiro Hafizol, keberanian Allahyarham, 31, adalah satu perkara yang luar biasa dan pemergiannya memberi kesan mendalam kepada mereka berlima.

“Memang kami tidak mengenali tetapi kami anggap dia hero sebenar dan kami akan ingat apa yang berlaku pada malam itu sampai bila-bila.

“Doa kami agar Allahyarham tenang dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Tambahnya, dia menyedari kehilangan Allahyarham selepas semua mangsa berjaya dibawa ke tebing.

“Saya yang terakhir terjun ke sungai membantu membawa kanak-kanak berusia 11 tahun naik ke darat selepas rakan keletihan dan meminta saya membantu kanak-kanak terbabit.

“Ketika itu, kanak-kanak terbabit dihanyutkan arus ke tengah sungai. Dia tidak tahu berenang tetapi saya kagum kerana dia tidak panik dan pandai mengapung dirinya dalam keadaan terlentang,” katanya.

Saiful Anuar pula berkata, bibirnya tidak pernah putus membaca doa Nabi Yunus dan sentiasa ingat Allah ada bersama mereka sepanjang berada di dalam sungai.

“Saya menyelamatkan kanak-kanak berusia tiga tahun dan ketika membawanya, saya sudah keletihan namun saya kuatkan semangat selain tidak berhenti membaca doa Nabi Yunus sehinggalah kami selamat sampai di Jeti Marin, berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Mohd berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan dan menziarahi kubur anak ketiga daripada lapan beradik itu.

“Hanya Allah yang mampu membalasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:15 PM
MOHD Mustapa bapa kepada Allahyarham Abdul Bari Asyraf, 31 bersama Wira Pulau Warisan yang sama-sama membantu arwah menyelamatkan 5 wanita yang hampir lemas. Dari kiri, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, Mohammad Asadullah  Jamaluddin, 28 (dua kiri), Shahrul Mizan Harun, 34 (kanan), Saiful Anuar Mohd, 37 (dua kanan) dan adik arwah  Ahmad Lutfi Mohd, 21 berdoa di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Merbau Patah. FOTO Ghazali Kori
MOHD Mustapa bapa kepada Allahyarham Abdul Bari Asyraf, 31 bersama Wira Pulau Warisan yang sama-sama membantu arwah menyelamatkan 5 wanita yang hampir lemas. Dari kiri, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28 (dua kiri), Shahrul Mizan Harun, 34 (kanan), Saiful Anuar Mohd, 37 (dua kanan) dan adik arwah Ahmad Lutfi Mohd, 21 berdoa di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Merbau Patah. FOTO Ghazali Kori