JOHN dan Johnny mampu menghabiskan sekilo ikan dalam masa tidak sampai 20 minit.
JOHN dan Johnny mampu menghabiskan sekilo ikan dalam masa tidak sampai 20 minit.
Hassan Omar


Alor Gajah: Kehadiran John dan Johnny tidak pernah diundang, tetapi sejak kali pertama diberikan ikan oleh sekumpulan nelayan kira-kira enam bulan lalu, pasangan memerang jantan dan betina itu semakin jinak.

Dengan jarak hanya lima meter dari gigi pantai di Pangkalan Nelayan Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini, ia menjadi destinasi pilihan haiwan liar itu untuk mencari makanan terutama yang bersaiz kecil seperti selangat, tamban, anak gelama, mempinis dan duri.

Nelayan, Abu Noh Md Isa, 65, berkata, John dan Johnny hadir di pangkalan nelayan terbabit sejak enam bulan lalu dan mula menikmati ikan dilemparkan kira-kira 15 nelayan yang kasihan melihat keadaan haiwan berkenaan dalam kelaparan.

ABU  memberikan ikan kepada  John di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah.
ABU memberikan ikan kepada John di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah.

Menurutnya, ketika nelayan yang baru naik ke pantai mengasingkan ikan daripada udang, tiba-tiba haiwan berkulit gelap itu muncul di gigi pantai sebelum mengeluarkan bunyi yang seakan-akan meminta makanan.

“Kami mencampakkan ikan kepada haiwan itu lalu ia menyambar kerana lapar dan bermula daripada situlah nelayan di sini menamakan pasangan memerang itu sebagai John dan Johnny.

“Boleh dikatakan setiap hari haiwan ini datang untuk mencari makanan,” katanya.

Abu Noh atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Kassim berkata, dari semasa ke semasa haiwan sepanjang kira-kira 0.91 meter dengan anggaran
berat lima kilogram (kg) berkenaan semakin mesra dengannya serta nelayan lain.

Kadang kala, katanya, pasangan memerang terbabit mengikutnya pulang ke rumah yang terletak pada jarak kira-kira 60 meter dari pangkalan sambil merengek meminta ikan.

“Haiwan ini sangat cerdik kerana apabila kami mencampakkan ikan ke pasir pantai, ia bawa ikan masuk ke laut untuk dibersihkan sebelum memakannya.

“John dan Johnny paling menggemari ikan duri dan selangat serta ada-kalanya mampu menghabiskan sekilo ikan itu tidak sampai 20 minit.

“Nelayan di sini amat terhibur dengan gelagat John dan Johnny yang seolah-olah memahami apa yang kami cakap dan cerdik mengikut arahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:53 AM