PENYANYI, Naim Daniel. FOTO Khairul Azhar Ahmad
PENYANYI, Naim Daniel. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Noriza Sainal

WALAUPUN belum diumumkan secara rasmi, pelakon dan penyanyi Naim Daniel, 22, bersyukur apabila drama lakonannya berjudul Pia mendapat respons positif.

Naim yang juga pelakon utama drama terbitan JS Pictures ini berkata, ramai peminat memberi respons positif apabila dia memuat naik beberapa babak drama berkenaan di Instagram.

Drama arahan Azman Yahaya itu akan ditayangkan di TV3 sempena Ramadan tahun ini.

Selain Naim yang membawa watak Budi yang menghidap ‘cerebral palsy’, turut berlakon dalam drama berkenaan ialah Zara Zya.

“Momentun sebelum drama ditayangkan memang tinggi, tetapi naik turun momentum itu selepas ini adalah perkara biasa. Bagaimanapun, semua pelakon akan berusaha menaikkannya semula apabila ia ditayangkan nanti,” katanya.\

Bercerita mengenai watak Budi, Naim berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk persiapan membawa watak itu sebelum ke set penggambaran.

“Ini yang dimahukan pengarah dan pemilik JS Pictures, Sheila Rusly. Mereka memberi saya tempoh dua bulan. Melakonkan watak pesakit ‘cerebral palsy’ memerlukan ketahanan mental dan fizikal tinggi. Bukan mudah mendalami watak sebegini dengan baik walaupun ia bukan perkara luar biasa.

“Dengan segala usaha dan kajian dilakukan, saya berharap ia berbaloi dengan apa yang cuba disampaikan kepada penonton,” katanya.

Katanya, ia adalah lakonan pertamanya selepas lapan tahun tidak bekerjasama dengan JS Pictures itu.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dengan JS Pictures, tetapi ketika itu saya berusia 14 tahun dan kini baru berlakon semula bersama mereka pada usia 22 tahun.

“Dulu pun saya melakonkan watak OKU (orang kurang upaya). Ia agak sukar tetapi saya memang gemarkan lakonan sebegini apatah lagi dapat bekerjasama dengan syarikat produksi yang terkenal dengan kualitinya.

“Apabila bekerja di bawah produksi yang mementingkan kualiti, kita juga akan berusaha keras supaya dapat merasai kualiti sesuatu karya itu,” katanya yang juga pelakon filem Bisik Pada Langit.

Katanya, ia adalah peluang buat dirinya membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan.

Single baru dilancar April

BERCERITA mengenai kerjaya nyanyiannya, Naim berkata, dia akan melancarkan single terbaru berjudul Sumpah pada April ini.

Dia juga gembira apabila kerjaya itu semakin berkembang dan Sumpah turut dipilih sebagai lagu runut bunyi drama Pia.

“Ia akan dilancarkan seminggu sebelum drama Pia ditayangkan,” katanya yang juga pencipta lagu itu.

Menurutnya, dia juga terbabit dalam beberapa persembahan nyanyian dan berharap peminat mendoakan kejayaannya pada masa akan datang.

Selain Sumpah, Naim sudah melancarkan dua single sebelum ini iaitu Sempurna dan Sekali Lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:00 AM