MUHAMMAD Haziq menerima pingat gangsa dan sijil dalam Kejohanan Kulinari Piala Dunia 2018 di Luxembourg.
MUHAMMAD Haziq menerima pingat gangsa dan sijil dalam Kejohanan Kulinari Piala Dunia 2018 di Luxembourg.

Norizuan Shamsuddin

[email protected]

KUALA LUMPUR: “Saya hanya mula bergiat dalam pertandingan kulinari sewaktu menuntut di kolej empat tahun lalu bermula dengan pertandingan biasa dalam negara bagi mencari pengalaman dan kemahiran sebelum mengembangkan bakat di peringkat antarabangsa.

“Tak sangka saya berjaya mendapat pingat gangsa walaupun kali pertama menyertai pertandingan Kulinari Piala Dunia,” kata Cef Muhammad Haziq Hazwan Ruslin, 25.

Anak jati kelahiran Selangor terbabit berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selepas memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Kulinari Piala Dunia 2018 di Luxembourg yang berlangsung selama empat hari sehingga 28 November lalu.

Kejayaan itu sekali gus menguatkan semangatnya untuk mempertingkatkan kemahiran bagi terus menyertai pertandingan di pentas dunia dalam bidang kulinari.

Menurut Muhammad Haziq, dia tidak menyangka berjaya mendapat tempat walaupun kali pertama menyertai kejohanan kulinari bertaraf Piala Dunia anjuran The Vatel-Club Luxembourg (ASBL), antara badan Persatuan Cef Profesional Luxembourg dan juga ahli Persatuan Cef Komuniti Dunia (WACS).

Katanya, pertandingan membabitkan tiga kategori terbabit mendapat penyertaan lebih 1,000 peserta daripada 30 negara.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan doa semua pihak terutama keluarga yang banyak membantu, saya berjaya mendapat gangsa kategori individu untuk pertandingan Kesenian Kulinari bagi persembahan secara langsung dan pameran.

“Bagi persembahan secara langsung, saya menggubah tiga biji tembikai termasuk dua tembikai susu dalam bentuk ukiran gaya bebas yang mengambil masa selama tiga jam untuk disiapkan.

“Manakala untuk persembahan pameran pula, saya menggubah tiga biji labu, tembikai dan tembikai susu bertemakan ukiran batik serta songket yang sinonim dengan Malaysia dan ia mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan,” katanya.

Muhammad Haziq yang merangkul pingat emas pada Kejohanan Kulinari Asia pada 2015 berkata, walaupun gagal mendapat tempat pertama tetapi dia gembira kerana mampu bersaing dengan chef yang hebat dan jauh berpengalaman daripada pelbagai negara serta berjaya mendapat tempat ketiga meskipun pertama kali menyertai pertandingan berprestij itu.

“Pingat emas bagi pertandingan berkenaan dimenangi peserta dari Poland manakala perak pula disandang peserta dari Croatia.

“Saya turut berbangga apabila seorang peserta dari Malaysia, Chef Muhammad Yusof Yaakob turut berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih pingat gangsa bagi kategori individu acara berlainan dalam Kejohanan Kulinari Piala Dunia 2018.

“Ini membuktikan negara kita mempunyai ramai individu yang berbakat dalam bidang kulinari, tetapi disebabkan kekangan kewangan dan tiada penajaan untuk mengetengahkan bakat, mereka tidak dapat menyertai pertandingan di peringkat dunia,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mengeluarkan sumber kewangan sendiri bagi menyertai setiap pertandingan selain dibantu oleh keluarga.

Katanya, untuk menyertai pertandingan di luar negara, sudah pasti memerlukan dana kewangan yang tinggi terutama bagi pengangkutan, penginapan dan peralatan yang perlu disediakan.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat membantu dari segi penajaan kepada mereka yang berbakat dalam bidang kulinari untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa. Ini kerana mereka mewakili negara dan mampu mengharumkan nama Malaysia dalam bidang kulinari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 8:00 AM