SITI Safura menjuarai Pertandingan Cef Kulinari 2020 di  Dublin, Ireland, semalam. FOTO  IHSAN FACEBOOK SAFURA TAWIL
SITI Safura menjuarai Pertandingan Cef Kulinari 2020 di Dublin, Ireland, semalam. FOTO IHSAN FACEBOOK SAFURA TAWIL
Redzuan Muharam


“WALAUPUN masih demam, Allah izin juga. Terima kasih Allah,” kata Siti Safura Mohd Tawil.

Siti Safura, 28 memuat naik hantaran itu selepas menjuarai Pertandingan Cef Kulinari 2020 di Dublin, Ireland, semalam.

Anak kelahiran Ranau, Sabah itu menambat hati juri menerusi hidangan Nasi Lemak Bunga Telang dan merangkul pingat emas menerusi kemenangan dalam pertandingan berkenaan.

Menerusi hantaran sama, Siti Safura turut meluahkan penghargaannya kepada Duta Besar Malaysia ke Ireland, Zakaria Nasir dan isterinya, Junainah Che Ali.

“Terima kasih kepada Duta Besar Malaysia, TYT Encik Zakaria Nasir dan isterinya, Puan Junainah untuk sokongan yang tidak terhingga,” katanya.

“Terima kasih juga kepada Chef Boy, Chef Fauzan, Dr Esa dan Sir Razman atas nasihat dan pandangan. Saya amat menghargainya,” katanya.

Siti Safura pernah mengharumkan nama negara selepas menjuarai pertandingan ‘Embassy Chef Challenge 2016’ di Ottawa, Kanada pada 3 November 2016.

Lebih membanggakan, Siti Safura adalah peserta termuda ketika itu dan menewaskan 10 cef dari Belgiun, Guatemala, Jamaica, Sepanyol, United Kingdom (UK), Perancis, Honduras, Kazakhstan, Pakistan dan Trinidad & Tobago yang bergelar juara bertahan pada tahun sebelumnya.

Beliau juga pernah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan termasuk bertanding sebagai pelajar di ‘Culinaire Malaysia’ dan bersaing dengan cef dari beberapa negara seperti Korea Selatan, Thailand, Singapura dan lain-lain.

Antara pengalaman lainnya bekerja sebagai cef di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, Kanada sejak Februari 2016 selepas selepas menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 8:44 PM