MUHAMMAD Aiman Afiq menunjukkan  keputusan UPSR yang diperolehnya.
MUHAMMAD Aiman Afiq menunjukkan keputusan UPSR yang diperolehnya.
Nur Izzati Mohamad


NIBONG TEBAL: Beberapa hari sahaja lagi sesi persekolahan baharu di negara ini akan bermula.

Persiapan juga kini semakin rancak dilaksanakan setiap ibu bapa untuk memastikan kelengkapan dan yuran anak-anak mereka disediakan dengan secukupnya.

Bagaimanapun, seorang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini masih gagal ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri, 12, yang memperoleh keputusan 6A memohon untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah dengan memasuki MRSM atau SBP di negeri ini.

Namun, permohonannya ditolak hingga memaksa dia ditempatkan di sekolah harian biasa terlebih dahulu.

Anak sulung daripada dua beradik itu satu-satunya murid yang memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai dan mempunyai impian memasuki sekolah lebih baik bagi membantu keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Ayah hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibu pula suri rumah dan keluarga kami bukanlah senang seperti orang lain.

“Saya belajar sungguh-sungguh kerana nak bantu ibu dan ayah dengan harapan dapat memasuki sekolah lebih baik namun tidak ada rezeki lagi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail dan komuniti setempat di rumahnya di Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat, semalam.

Ibunya, Rashidah Ali, 45, berkata, anak sulungnya yang mesra disapa dengan panggilan Aiman sering menyatakan hasrat untuk memasuki MRSM atau SBP jika memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

“Aiman pada mulanya bimbang kerana tahu ayahnya tidak mampu membiayai kos pendidikan sekiranya dia ke sekolah itu, tetapi melalui caranya bersembang, saya tahu dia teringin sangat nak masuk ke sekolah berkenaan.

“Keinginannya itu membuatkan dia bersungguh-sungguh memberi tumpuan di sekolah yang akhirnya memperoleh keputusan cemerlang, tetapi sayangnya permohonan masuk ke MRSM atau SBP ditolak hingga membuatkan saya sedikit kecewa,” katanya.

Katanya, suaminya, Mohd Basri Abdul Manas, 45, hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan dan perlu menyaranya serta dua anak mereka.

“Buat sementara waktu, Aiman akan belajar di sekolah harian biasa terlebih dahulu dan sebagai ibu saya berharap keputusan rayuan yang dibuat untuk Aiman ke MRSM atau SBP akan diterima secepat mungkin.

“Saya bukan nak kata sekolah harian biasa tidak bagus tetapi saya mahu Aiman lebih menumpukan pelajarannya dengan keadaan persekitaran persekolahan selesa dan makan minumnya terjaga dengan baik sekali gus menjadi anak harapan keluarga bagi membantu kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Norhiesam berkata, beliau sudah menyuarakan situasi yang berlaku terhadap Aiman untuk perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun melalui aplikasi Twitter.

“Selain itu, saya turut menyatakan permasalahan ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan mereka meminta Aiman berdaftar dahulu di sekolah harian biasa sebelum keputusan rayuannya keluar.

“Pada masa sama, pelbagai pihak juga kini tampil dalam membantu dan menghulurkan sumbangan kepada Aiman antaranya Zakat Pulau Pinang (ZPP) termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kini dalam proses menimbang bantuan sewajarnya,” katanya.

Dalam program lawatan berkenaan, Mohd Norhiesam turut menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan dan alat tulis untuk kegunaan Aiman serta adik perempuannya berusia lapan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 6:58 AM