NURIN Deanna menunjukkan slip keputusan UPSR yang diperolehnya.
NURIN Deanna menunjukkan slip keputusan UPSR yang diperolehnya.
Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Biarpun hati melonjak gembira apabila meraih keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun Nurin Deanna Badrul Hisham berduka mengenangkan rakan sekelasnya apabila mereka tidak dapat meraikan kejayaan bersama-sama berikutan bapa murid itu meninggal dunia, tengah malam kelmarin.

Nurin Deanna yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ara Rendang, di sini, berkata, rakannya Nor Hamimi Aina Roshdan yang turut memperoleh keputusan cemerlang dikejutkan dengan berita pemergian bapanya sebelum keputusan UPSR diumumkan.

Katanya, Nor Hamimi yang mesra disapa dengan panggilan ‘Mimi’ berasal dari Padang Serai, Kedah dan dia menetap di sebuah asrama dekat Pokok Sena di sini, untuk berulang-alik ke sekolah.

“Asrama itu disediakan untuk murid daripada keluarga kurang berkemampuan dan ia menjadi tempat Mimi tinggal untuk ke sekolah ini.

“Selain saya, Mimi antara murid terbaik sekolah ini dan kami belajar bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian guru serta ibu bapa sehingga akhirnya kami berjaya, namun sedih apabila tidak dapat meraikan kejayaan ini bersama dengannya apabila bapanya meninggal dunia akibat sakit jantung,” katanya.

Empat daripada 60 calon sekolah berkenaan yang menduduki peperiksaan UPSR memperoleh keputusan 6A.

Nurin Deanna yang bercita-cita mahu menjadi doktor pakar sakit puan berkata, dia mahu mengikut jejak kakaknya untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi membolehkan cita-citanya tercapai sekiranya belajar dengan baik dan terus cemerlang.

“Melihat kejayaan kakak membanggakan keluarga, saya sudah menanam azam untuk menjadi sepertinya dan mahu turut mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik.

“Oleh itu, saya fokus ketika berada di dalam kelas, buat ulang kaji dan mengikuti kelas tuisyen yang diadakan di sekolah untuk memperoleh keputusan baik,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, bapanya bekerja sebagai perunding syarikat insurans manakala ibunya suri rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:09 AM