Natasya    mendapat ciuman tahniah daripada ibu bapanya selepas pengumuman keputusan UPSR 2015.
Natasya mendapat ciuman tahniah daripada ibu bapanya selepas pengumuman keputusan UPSR 2015.

Shah Alam: “Saya lemah dalam mata pelajaran Matematik dan sebulan sebelum peperiksaan, saya melakukan ulang kaji siang dan malam,” kata Natasya Elyana Li, murid Orang Asli yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan semalam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia mahu mengikut jejak langkah kakaknya yang kini menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang turut cemerlang dalam UPSR dan memperoleh 5A.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Labohan Dagang, Kuala Langat itu mengatakan dia banyak membuat latihan, sering menghadiri kelas tambahan di rumah gurunya serta belajar secara berkumpulan.

“Saya mahu berjaya seperti kakak dan kerana itu saya perlu belajar bersungguh-sungguh.

“Kejayaan hari ini (semalam) adalah permulaan pertama untuk saya mencapai cita-cita menjadi doktor sekali gus membuktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Seksyen 32..

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Zainuren Mohd Nor mengumumkan keputusan UPSR peringkat Selangor di sekolah itu.

Seorang lagi murid Orang Asli yang mendapat 5A, Noorhaizah Rahman berkata, dia terkejut malah masih tidak percaya dengan keputusan diperoleh.

“Tidak sangka dapat semua A kerana pada peperiksaan percubaan, saya hanya memperoleh 3A 2B,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:26 AM