NURUL Izzah Anwar. Foto Arkib NSTP KHAIRULL AZRY BIDIN.
NURUL Izzah Anwar. Foto Arkib NSTP KHAIRULL AZRY BIDIN.
Siti Sofia Md Nasir


AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan mengundurkan diri daripada perlantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang, hari ini.

Nurul Izzah berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

“Saya juga tidak akan memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Pusat dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan peranan saya di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Pulau Pinang.

“Selepas ini, saya hanya akan menjadi Ahli Parlimen yang tidak mempunyai sebarang portfolio dalan usaha untuk mereformasi kerajaan.

“Saya juga menyerahkan kepada kepemimpinan parti berhubung status saya sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, PKR mengumumkan perlantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang yang baharu menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 2:31 PM