SUAMI wanita itu memegang poster yang mempunyai gambar anaknya dalam usaha mencari kanak-kanak berkenaan yang hilang. - Agensi
SUAMI wanita itu memegang poster yang mempunyai gambar anaknya dalam usaha mencari kanak-kanak berkenaan yang hilang. - Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang wanita ditahan polis selepas dia menipu penculikan anak lelakinya yang berusia 11 tahun selama lima hari semata-mata untuk menguji kesetiaan suaminya.

Polis di bandar Yueqing yang terletak di wilayah Zhejiang, timur China dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu, kanak-kanak itu ditemui selamat di rumah saudaranya selepas dilaporkan hilang oleh ibunya.

“Ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Chen, 33, ditangkap kerana disyaki sengaja membuat dan menyebarkan maklumat palsu,” kata kenyataan itu.

Menurut polis, wanita itu yang mempunyai masalah rumahtangga merancang menipu penculikan berkenaan semata-mata untuk menguji sama ada suaminya masih mengambil berat mengenai dirinya dan anaknya.

Siasatan polis mendapati, Chen bertemu anaknya selepas sekolah dan mengarahkan kanak-kanak itu menunggu di dalam kereta lain sementara dia membuat laporan polis mengenai kehilangannya.

Kes itu mendapat perhatian ramai selepas keluarga berkenaan menawarkan ganjaran 500,000 yuan (RM302,200) untuk maklumat yang membawa kepada penemuan kanak-kanak itu.

Beijing Youth Daily melaporkan, keluarga kanak-kanak itu turut mengeluarkan poster lengkap dengan gambar kanak-kanak berkenaan dan pakaian terakhir dipakainya.

Polis juga menjadikan kes itu sebagai keutamaan dengan pegawai di Yueqing dan bandar Wenzhou memperuntukkan sumber serta tenaga manusia yang besar bagi mencari kanak-kanak berkenaan.

Pengguna media sosial turut membantu dengan satu topik di laman Weibo bagi mengesan kanak-kanak itu dibaca lebih 230 juta kali.

Sepanjang usaha mencari besar-besaran itu, kanak-kanak berkenaan sebenarnya disembunyikan di rumah saudaranya di sebuah kampung berhampiran, manakala Chen berpura-pura membantu polis untuk mencari anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 6:30 AM