XIAOJIAO dirawat di Hospital Yulin dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun mengalami kekurangan air dalam badan. FOTO Handout
XIAOJIAO dirawat di Hospital Yulin dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun mengalami kekurangan air dalam badan. FOTO Handout
Agensi

Beijing: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 20 bulan dianggap sebagai bayi ajaib apabila ditemui masih hidup dan sihat selepas hilang di hutan selama lima hari tanpa makanan serta air.

Xiaojiao merayau di kawasan hutan di belakang rumahnya di wilayah Guangxi pada 27 Ogos lalu dan bapanya, Chen Qingran melaporkan kehilangannya sehari selepas itu apabila dia gagal menemui anaknya.

Dia dilaporkan bermain bersama abangnya yang berusia enam tahun dan kakaknya berusia empat tahun berhampiran rumah mereka sebelum hilang di dalam hutan.

Kanak-kanak itu hanya ditemui pada Jumaat lalu oleh seorang pekerja syarikat elektrik yang ternampak Xiaojiao terbaring di atas semak berhampiran tali air.

Menurut akhbar Hangzhou Daily, seramai 700 orang termasuk anggota polis dan sukarelawan terbabit dalam operasi mencari Xiaojiao.

Operasi besar-besaran itu turut membabitkan skuad anjing pengesan dan pasukan mencari sudah melengkapkan kawasan carian seluas 2.5 kilometer radius dari lokasi kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang.

Ketika ditemui Xiaojiao mengalami kekurangan air dan badannya penuh dengan gigitan serangga tetapi apa yang menakjubkan kanak-kanak itu mampu bertahan tanpa air serta makanan selama lima hari.

Xiaojiao segera dihantar ke Hospital Yulin dan doktor yang merawat kanak-kanak itu menganggap kes berkenaan sebagai satu keajaiban.

“Kanak-kanak itu mungkin hidup dengan menjilat air hujan ketika berbaring di atas tanah,” kata seorang doktor, Li Dejian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 9:39 AM