LEI Wuze berjalan di sekitar Yueyang sambil memegang gambar Yuechuan. FOTO Agensi
LEI Wuze berjalan di sekitar Yueyang sambil memegang gambar Yuechuan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Selepas 22 tahun, seorang bapa di China akhirnya menjejaki semula anaknya di sebuah bandar, sejauh 900 kilometer (km) dari lokasi mangsa diculik.

Oddity Central melaporkan, Lei Wuze menemui anaknya, Lei Yuechuan, yang kini berusia 26 tahun, pada akhir bulan lalu.

Pertemuan itu adalah yang pertama selepas dua beranak itu terpisah lebih dua dekad.

Kali terakhir Wuze melihat Yuechuan adalah sebelum dia meninggalkan rumahnya di Yueyang, Wilayah Hunan, pada Oktober 2001. Ketika itu, Wuze meninggalkan Yuechuan yang berumur empat tahun untuk bermain di bawah pengawasan salah seorang jirannya.

Jirannya itu kemudian memberitahu polis bahawa seorang lelaki menculik kanak-kanak itu.

Wuze sangat kecewa, namun tidak pernah putus asa atau berhenti berharap untuk bertemu semula dengan anak lelakinya itu.

Antara ikhtiarnya adalah melakukan pencarian di sekitar Yueyang, memegang gambar dan bertanya dengan orang yang lalu lalang untuk mengetahui sama ada mereka pernah melihat anaknya.

Wuze tidak henti melakukan pencarian dan pada tahun ini, usahanya itu membuahkan hasil.

Sepanjang 22 tahun dia menghabiskan masa mencari anaknya, Wuze turut berkawan dengan ibu bapa lain sama yang senasib dengannya.

Melihat ramai daripada mereka bersatu semula dengan anak mereka, memberinya harapan bahawa suatu hari nanti dia juga akan dapat bertemu Yuechuan.

Walaupun semakin berusia dan berasa lebih letih setiap tahun, Wuze tidak pernah berputus asa.

Sebaliknya, dia hanya berusaha lebih gigih dalam beberapa tahun kebelakangan ini, malah cuba beralih kepada kaedah pencarian lain iaitu dengan teknologi pengecaman muka.

Usaha Wuze yang berterusan membuahkan hasil selepas perisian pengecaman muka dikenali sebagai `Prototaip Pengecaman Muka 2.0' berjaya mengesan anaknya.

Perisian itu digunakan oleh polis untuk mencari padanan selepas gambar wajah Yuechuan ketika kecil dihasilkan menjadi model lebih tua.

Pada awal tahun ini, Wuze dimaklumkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dirinya sepadan dengan seorang lelaki berusia 26 tahun yang tinggal di Shenzen.

Ujian DNA yang dilakukan kali kedua akhirnya mengesahkan pencarian itu sudah berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:09 PM