TUAN Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul 2018 kepada Najion Jamil (dua dari kanan) sambil diperhati Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Masjid Negeri. FOTO/KHAIRULL AZRY BIDIN.
TUAN Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul 2018 kepada Najion Jamil (dua dari kanan) sambil diperhati Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Masjid Negeri. FOTO/KHAIRULL AZRY BIDIN.
Norasikin Daineh


KOTA KINABALU: Berjaya menghasilkan lebih 1,000 rencana dan sembilan buku dalam keadaan cacat penglihatan antara kelebihan yang dimiliki penerima Anugerah Khas sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, tahun ini.

Najion Jamil, 61, yang buta sejak berusia tiga tahun berkata, anugerah itu pengiktirafan kerajaan negeri terhadap hasil karyanya berkaitan penulisan agama Islam di negeri ini.

“Saya aktif menulis sejak 1982 melalui penulisan skrip Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan akhbar tempatan. Setakat ini saya sudah hasilkan sembilan buku berkaitan agama Islam dan antara buku paling laris bertajuk Bila Ababil Menyerang mengenai Maulidur Rasul.

“Minat menulis secara kebetulan dan menerusi penulisan, kami boleh survive. Jadi, saya banyak menghasilkan karya dan ini pengiktirafan daripada kerajaan negeri atas usaha saya selama ini,” katanya selepas menerima anugerah itu sempena sambutan Maulidur Rasul di pekarangan Masjid Negeri Sabah, semalam.

Menurut anak kelahiran Ranau itu juga, kemahirannya dalam bidang teknologi maklumat (IT) banyak membantu menghasilkan karyanya selama ini.

“Melakukan sesuatu yang baik tiada sempadannya sama ada kita orang kurang upaya (OKU) atau bukan. Apa yang penting mengikut keupayaan sendiri untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat.

“Keupayaan saya menulis dan kini banyak menggunakan komputer harus dimanfaatkan.

“Saya berharap ibu bapa yang mempunyai anak OKU menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas supaya kemahiran dan bakat mereka dapat diasah,” katanya yang pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebelum bersara tahun lalu.

Majlis penyampaian Anugerah Khas dan Tokoh Maulidur Rasul disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib serta Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar. merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk.

Sementara itu, penerima anugerah tokoh Maulidur Rasul kategori lelaki, Datuk Mohd Hanan Ramli, 60, bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan itu.

“Saya terkejut tetapi bersyukur dan bangga menerima anugerah ini. Mungkin disebabkan perkhidmatan dalam kerajaan selama 33 tahun berkaitan undang-undang selain terbabit aktif dalam aktiviti kebajikan,” katanya.

Penerima tokoh Maulidur Rasul kategori wanita, Zubaidah Jammadi, 60, berharap anugerah ini menjadi motivasi kepada wanita untuk terus menyumbang tenaga terhadap aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

“Saya bukan yang terbaik dalam kalangan wanita tetapi mungkin tahun ini giliran saya dan insya-Allah tahun hadapan ada ramai wanita lain akan terpilih,” katanya yang pernah bertugas sebanyak sembilan kali di Makkah dan Madinah menerusi Tabung Haji untuk membimbing jemaah haji sejak 1995 hingga 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:00 AM