Sudirman Mohd Tahir

Putrajaya: Tokoh Akademik, Prof Datuk Dr Syed Othman Syed Husin Al Habshi diumumkan penerima Anugerah Perdana bersempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Selain itu, Pengasas dan Presiden Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah diumumkan antara enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Penerima lain Anugerah Maulidur Rasul ialah Yang Dipertua Persatuan Falak Syar'i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha; aktivis kebajikan haiwan, Datuk Dr Mhd Nordin Mohd Nor dan pesara guru yang juga Ikon Pejuang Bahasa Melayu 2015, Shaariah Dahman.

Seorang lagi penerima ialah orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang juga Ketua Operasi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Zamzuri Ghani.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Bertemakan 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI', penerima Anugerah Perdana menerima hadiah berupa wang tunai sumbangan kerajaan, medal dan jongkong emas.

Anugerah diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak atas sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Perdana kepada Syed Othman. Turut hadir, Anwar dan Mohd Na’im. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Perdana kepada Syed Othman. Turut hadir, Anwar dan Mohd Na’im. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 1:18 PM