Ainal Marhaton Abd Ghani


Kuantan: Pendakwah bebas, Zul Ramli Mohamad Ghazali, 56, diumumkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pahang.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Dakwah Majlis Dakwah Negara menerima wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.

Manakala penerima Anugerah Ummah, Cik Wan Hilmy Wan Mohamed, 44, pula menerima RM5,000, plak dan sijil penghargaan

Penyampaian anugerah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M peringkat negeri disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Ketika ditemui, Zul Ramli menyatakan terima kasih dan berkata ia adalah pengiktirafan buat dirinya yang sudah lebih 30 tahun menunaikan tanggungjawabnya sebagai pendakwah.

"Saya berjanji pada diri supaya terus berjuang untuk agama dan mengikhlaskan hati seperti Nabi Muhammad SAW yang berjuang menegakkan agama Islam sehingga ke akhir hayatnya," katanya.

Sementara itu, Cik Wan Hilmy yang juga Pengetua Madrasah An Nabawiyah (Lil Banin), Pulau Tawar, Jerantut bersyukur dan berterima kasih dipilih memenangi anugerah berkenaan.

"Pengiktirafan ini adalah cabaran untuk diri bagi terus memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat.

"Anugerah ini menjadi pemangkin kepada saya terus mempergiatkan lagi usaha dakwah kepada seluruh masyarakat yang memerlukan.

"Saya pernah menganjurkan satu program di Pulau Perhentian, Terengganu membabitkan 700 belia yang kebanyakannya berdepan dengan pelbagai masalah seperti kemurungan, konflik rumah tangga dan hubungan kekeluargaan," katanya.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco Kerajaan negeri.

Majlis diserikan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Far East,selawat oleh Syeikh Mustafa Sirya, Syeikh Dhiya' Sirya dan Kumpulan Mursyidul Hadi, Ribat Mustafa dan ceramah Maulidur Rasul oleh Maulana Cik Wan Hilmy Wan Mohamed.

Sementara itu, seramai 1,200 peserta daripada 32 kontinjen membabitkan sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mengambil bahagian dalam perarakan bermula dari Taman Gelora menuju dewan jubli sejauh 3.5 kilometer.

Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berjaya menduduki tempat pertama Pertandingan Sepanduk dan Perarakan yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul bagi kategori jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan, masjid manakala Kuliah Al-Lughnah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan bagi kategori sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 4:33 PM
Zul Ramli pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 H / 2022 M di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Zul Ramli pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 H / 2022 M di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG