Mira Filzah
Mira Filzah
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Mira Filzah reda apabila kontraknya bersama program Nona di TV3 yang digalas hampir empat tahun ditamatkan lima bulan lebih awal.

Mira berkata, dia pernah meluahkan hasrat kepada pengurusnya untuk memberi peluang kepada pengacara lain selepas kontraknya tamat, tapi tidak menyangka pada 1 Ogos lalu adalah kali terakhir dia bersiaran untuk Nona.

"Minggu lepas adalah episod terakhir Mira bersiaran untuk Nona 2021. Mira mulakan penggambaran episod pertama Nona pada Disember 2017, dan episod akhir pada Julai 2021.

"Perancangan awal bersama pengurus, Mira pernah beritahu dia pada awal tahun, mungkin tahun ini adalah tahun terakhir Mira bersama Nona.

"Mira nak fokus sesuatu, tahun depan. Hampir empat tahun bersama Nona, Mira rasa terlalu selesa. Bukan tidak sayang atau tak suka, cuma mahu memberi peluang kepada orang lain dan membuka ruang pada diri untuk mencuba perkara baru.

"Walaupun kontrak habis lima bulan awal, Mira terima dengan hati yang terbuka. Sejujurnya Mira gembira kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita," katanya.

Menurut Mira, dia mengakui tidak mahir dalam bidang pengacaraan namun, berjaya bertahan mengacarakan program berkenan hampir empat tahun.

"Mira faham kita semua mempunyai pendapat yang berbeza, ada yang kurang setuju dengan penyampaian Mira, namun Mira hormat pandangan anda semua.

"Mira akui tidak handal dalam bidang pengacaraan, tapi Mira dapat bertahan lama di dalam program ini, hampir empat tahun.

"Pada awal penglibatan, ingat dapat bertahan setahun atau dua tahun saja. Rupanya lebih lama!

"Apapun Mira bersyukur dan berterima kasih untuk setiap pengalaman bersama Nona. Seronok sangat, dah macam satu keluarga," katanya.

Untuk rekod, Mira mengendalikan rancangan Nona selama tiga tahun lapan bulan.

Program Nona juga pernah dikendalikan barisan pengacara terkenal tanah air sejak mula bersiaran pada 1991, antaranya Puan Seri Normala Shamsudin, Datin Norjuma Habib Mohamed, Maya Karin, Vanida Imran dan Fara Fauzana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 8:39 PM