Ara anggap lagu mencabar hingga berdebar di atas pentas. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Ara anggap lagu mencabar hingga berdebar di atas pentas. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Sudirman Mohd Tahir


LAGU Bunga nyanyian Ara Johari dipilih lagu terbaik pada separuh akhir kedua Muzik Muzik 33 (MM 33) yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam tadi.

Ara, 21, atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, lagu ciptaan Hang Nadim, Laq, Kadok dan lirik oleh Hang Nadim itu dianggap mencabar dari segi vokal hingga membuatkan dirinya berdebar di atas pentas.

“Diakui lagu ini bernada tinggi dan mencabar vokal. Walaupun selalu dinyanyikan pada persembahan biasa, untuk pertandingan ini perasaan sangat berbeza.

“Walaupun sebelum naik pentas tak rasa apa-apa, tetapi saya berasa gigil satu badan sebelum mulakan persembahan. Ia membuatkan saya gementar hingga menganggu nyanyian.

“Jelas kedengaran ketika awal nyanyian hingga korus. Namun, masuk ‘verse’ kedua saya dah dapat rentak semula,” katanya.

Sementara itu, Hang Nadim atau Akim Ahmad selaku komposer berkata, kekuatan lagu itu terletak pada melodi dan lirik.

“Melodi lagu ini menggabungkan tiga komposer, jadi ada tiga idea. Disebabkan itu, saya berasakan lagu ini ada kekuatan dari segi muzik.

“Ketika menghasilkan lagu ini, kami tak fikir dan harap lebih malah jauh sekali nak menjangkakan ia bakal menjadi lagu terbaik malam ini.

“Cuma, apa yang diinginkan adalah semua wanita dapat mesej daripada lagu ini. Sekiranya lagu ini terpilih ke Anugerah Juara Lagu (AJL), ia bonus,” katanya.

Selain Bunga, 10 lagu lain yang bertanding terdiri daripada Rahsia Kita (Khai Bahar & Fatin Husna), Jagakan Dia (Shiha Zikir), Kau Pun Sama (Syamel), Stereotype (Akim & The Majistret), Sulit (Aman Aziz), Demi Kita (Ismail Izzani).

Selain itu, lagu Cakap Ke Tangan (Stacy), Luluh (Khai Bahar), Bunga (Altimet) dan Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah).

Pada separuh akhir pertama, lagu Semakin nyanyian Siti Sarah dipilih sebagai lagu terbaik.

Turut membuat persembahan, penyanyi Hafiz Suip dan kumpulan Flop Poppy selaku penyanyi jemputan.

Kedua mereka bergabung menyanyikan lagu Masih Jelas dan Cinta.

Peringkat separuh akhir MM33 dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 12:39 AM