HAQIEM tak sabar buat persembahan terbaik demi ke pentas AJL36.
HAQIEM tak sabar buat persembahan terbaik demi ke pentas AJL36.
Najiy Jefri


PENYANYI Haqiem Rusli meluahkan rasa teruja apabila terpilih mempertaruhkan tiga lagu di Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-36 yang berlangsung pada 31 Disember dan 1 Januari depan.

Haqiem berkata, dia mengharapkan ketiga-tiga lagu yang akan dipersembahkan itu berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36.

"Ini kali pertama tiga lagu saya mara ke SFMM iaitu Mimpi, Adlina Marie dan lagu Lara yang menggabungkan saya bersama Hael Husaini dan Naim Daniel secara trio.

"Sejujurnya, saya tak sabar nak membuat persembahan yang terbaik untuk ketiga-tiga lagu ini. Malah, saya berharap lagu terpilih ini mara ke AJL36.

"Apa pun, saya harap penganjuran SFMM 36 kali ini mendapat sokongan pencipta muzik tempatan untuk kami memberikan persembahan terbaik dan berjuang di pentas nanti," katanya.

Tambah Haqiem lagi, sebagai persediaan dia juga akan mengosongkan jadual seninya untuk menjaga stamina dan vokal.

"Saya perlu pastikan persembahan berjalan lancar. Saya bimbang juga sekiranya suara terganggu akibat terlalu penat.

"Jadi, seminggu sebelum persembahan di SFMM36 saya kosongkan jadual seni untuk menjaga suara dan stamina.

"Saya juga bercadang untuk menghadiri kelas vokal dan mungkin membuat persediaan lebih rapi iaitu dengan melakukan senaman sebab agak sukar juga saya hendak menyanyikan tiga lagu dalam dua episod.

"Walaupun agak mencabar, tapi saya ambil tanggungjawab ini sebagai satu cabaran baharu. Insya-Allah saya akan buat sehabis baik untuk ketiga-tiga lagu berkenaan," katanya.

Buat julung kali, SFMM36 akan disiarkan sebanyak dua episod berbanding tiga episod selama ini. Secara keseluruhan, sebanyak 30 lagu bakal bertanding bagi peringkat separuh akhir ini dan hanya 12 lagu dipilih layak ke AJL36.

Pada Ahad lalu, pengacara Sissy Iman dan Muaz mengumumkan 10 lagu terakhir yang layak mara ke pentas SFMM36, manakala, baki 20 lagu sudah diumumkan pada 21 dan 28 November lalu.

Antara lagu yang berjaya adalah Adlina Marie (Haqiem Rusli), Nafas Cinta (Khai Bahar & Aina Abdul), Teman (Iman Troye), Neraca (Kmy Kmo, Luca Sickta & Datuk Jamal Abdillah) dan Intan Payung (Noraniza Idris & Bunga).

Tidak ketinggalan lagu Boneka nyanyian Ernie Zakri bersama dengan lagu Angkara (Siti Nordiana), Bagaimana (Muna Shahirah & Zack Zakwan), Lara (Hael Husaini, Haqiem Rusli & Naim Daniel) serta Lautan Asmara (Masdo).

Pada pengumuman minggu kedua menyaksikan lagu Tanpa Rela (Misha), Cinta Khayalan (Wany Hasrita), Tetap Aku Cinta (Ara Johari), AEWO (Shiha Zikir dan Noki), Pelukan Angkasa (Sekumpulan Orang Gila), Goodbye Hello (Syamel dan Ernie Zakri), Durja (Khai Bahar), Sepi (Aina Abdul), Cinta (Marsha Milan Londoh) serta Karma (Kaka Azraff dan Jaz Hayat) mara ke SFMM36.

Selain itu, turut menempah tiket juga ialah lagu Coretan Pilu nyanyian Datuk Awie, Bujang (Hael Husaini), Mimpi (Haqiem Rusli), Purnama (Naim Daniel), Cinta Jangan Pergi (Azzam Sham), Chikadun (Floor 88), Lenyap (Usop), Penat (Andi Bernadee), Rindu Separuh Nyawa (Naqiu & Vanessa) dan Salahku (Yonnyboii).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:12 AM