BARISAN finalis yang layak ke AJL 34.
BARISAN finalis yang layak ke AJL 34.
Sudirman Mohd Tahir


SEBANYAK 12 lagu sudah diumumkan layak ke peringkat Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan.

Semua lagu itu dipilih menerusi tiga minggu peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM 34) yang diadakan pada 15, 22 dan 29 November lalu.

Ketua juri yang juga komposer terkenal, Azmeer menyifatkan barisan juri SFMM 34 kali ini saling berbalah untuk menentukan 12 lagu yang paling layak ke AJL 34.

“Sebenarnya, saya merayu supaya produksi tambah satu lagi lagu menjadikan ia 13. Tapi, saya tak ada kuasa.

“Namun, bagi saya ada 20 lagu yang baik. Malangnya, kami hanya dibenarkan pilih 12. Jadi, kami melihat secara keseluruhannya lagu sedap atau tak.

“Kemudian, apabila agak sukar, kami berbincang dan saling membantah. Saya mencadangkan supaya menggunakan mikroskop dari sudut rubrik pemarkahan.

KUGIRAN  Masdo layak menerusi lagu Dinda.
KUGIRAN Masdo layak menerusi lagu Dinda.

“Kalau gunakan kaedah ini, peratusan yang banyak lebih kepada melodi. Kemudian, macam separuh akhir ada persembahan dan vokal termasuk lirik dan susunan semula lagu,” katanya.

Malangnya, Azmeer berkata, terdapat lagu yang bagus tapi gagal dipersembahkan dengan baik oleh penyanyi terbabit.

Menurutnya, ia sekali gus memberi kesan kepada pemarkahan hingga menjadikan lagu terbabit tidak tersenarai.

“Ada lagu yang kuat tidak disampaikan dengan baik. Mungkin penyanyi itu terlalu emosi. Dari sudut ‘pitching’ terlalu tidak matang menyebabkan ada ‘flat’ dan ‘sharp’.

“Agak mengejutkan ada penyanyi yang sudah biasa masuk separuh akhir dan akhir masih tidak menyanyi dengan baik. Sebaliknya, ada penyanyi baharu yang menyanyi sangat baik.

“Apabila lagu baik dan dinyanyikan dengan baik, dia layak ke akhir. Kriteria ini yang kami lihat. Penyanyi juga faktor penting membawa melodi lagu.

“Kalau markah 40 peratus melodi, penyanyi yang bawa melodi. Bukan gitaris atau pemuzik. Penyanyi kalau kurang dari segi nyanyian, bermaksud dia tidak bawa melodi dengan baik, kami terpaksa potong markah,” katanya.

Azmeer juga berkongsi, markah bagi semua lagu adalah sengit.

“Kalau tengok dari segi pemarkahan ada 15 lagu agak rapat. Perbezaan dua dan tiga markah saja.

“Terdapat juga lagu yang beza satu markah. Malah ada beberapa kriteria markah sama. Malangnya, kita hanya boleh pilih 12 lagu saja,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 34, Nurul Huda Khalid tegas dengan pendirian tidak ada sebarang kejutan membabitkan jumlah finalis.

“Tidak akan ada kejutan atau ‘wild card’. Kita masih dengan keputusan 12 lagu. Walaupun masuk 2020, tetap tidak akan berubah.

“Masa yang diberi kepada produksi oleh pengurusan jenama adalah 2 jam 30 minit. Jadi, memang tak boleh. Ketua juri nak lawan untuk tambah satu lagi lagu pun tak boleh,” katanya.

Kembali bersaing

Bagi Hafiz Suip yang pernah dua kali memenangi AJL dan tiga kali Vokal Terbaik, dia mengakui teruja untuk kembali beraksi selepas tiga tahun tidak terbabit dalam acara berprestij itu.

Hafiz layak ke AJL 34 menerusi lagu Kisah Cinta Kita hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali dan lirik oleh Datuk A Aida.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana ini adalah rezeki anak. Tidak lupa kepada keluarga, isteri, peminat dan semua pihak terbabit dalam lagu ini.

“Insya-Allah, saya akan cuba buat yang terbaik. Selepas tiga tahun saya kembali. Ia sesuatu yang menyeronokkan dan mengujakan,” katanya.

Begitu juga dengan bekas pemenang Vokal Terbaik pada AJL 32, Ernie Zakri yang menyifatkan nyanyiannya pada SFMM 34 menerusi lagu Ku Bersuara adalah persembahan terbaik sepanjang menyanyikan lagu itu.

“Dengan latihan dan masa yang saya buat untuk Ku Bersuara itu, saya berasakan keputusan ini berbaloi dengan usaha yang dibuat.

“Empat komposer lagu ini saya berasakan mereka sudah berikan yang terbaik seperti apa yang saya inginkan. Mesej sama seperti apa yang diinginkan.

“Jadi, saya yakin mampu membawa mesej kekuatan wanita itu pada pentas AJL nanti,” katanya.

Lapan lagi lagu yang bertanding pada AJL 34 adalah Sumpah nyanyian Naim Daniel ciptaan Naim Daniel dan Omar K, Sumpah hasil ciptaan sepenuhnya Aina Abdul, Drama (Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib/Drama Band); Anta Permana (Hael Husaini, Ezra Kong/Bob Yusof) dan Bangun (Navigator/Aman RA).

Lima lagi lagu ialah Ragaman (Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo/Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan/Fairuz Misran); Rampas (Hang Nadim, Laq / Bunga Cantik/Akim & The Majistret); Dinda (Ali Sariah/Kugiran Masdo); Peneman (Tam/Hazama) dan Lembah Kesepian (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran/Haqiem Rusli).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:20 AM