FARRA Umyra
FARRA Umyra
Norhayati Nordin

Minat mendalam terhadap bidang nyanyian membuatkan penyanyi baru Farra Umyra nekad mencuba nasib meskipun kini sudah berusia 30 tahun.

Berasakan belum terlewat untuk dirinya bergelar penyanyi, Farra mempertaruhkan single pertama berjudul Hancur Dalam Waktu.

Lebih menarik lagi, single itu ciptaan komposer berbakat, Hang Nadim yang cukup dikenali dengan lagu Warkah Untukku dan Bunga nyanyian Ara Johari.

Berbicara mengenai single itu, Farra berkata dia memang sudah lama mahu bekerjasama dengan Hang Nadim.

“Saya sangat sukakan lagu ciptaan Hang Nadim kerana melodi dan liriknya mantap.

“Apatah lagi, sebagai penyanyi baru penting untuk saya mendapatkan karya yang bagus untuk memikat hati pendengar.

“Sebaik saja mendengar melodi dan lirik single Hancur Dalam Waktu ini saya terus jatuh cinta.

“Malah, bekerjasama dengan Hang Nadim juga tidak sukar kerana dia senang bawa berbincang dan komited,” katanya.

Farra yang berasal dari Kuala Lumpur memiliki Sarjana Perakaunan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Ditanya mengenai statusnya, wanita yang aktif dalam bidang perniagaan ini memberitahu dia tidak melihat perkara itu sebagai halangan.

“Pendengar dan peminat muzik masa kini semakin bijak serta bersikap terbuka. Mereka menyokong penyanyi kerana karya lagu dipersembahkan.

“Saya misalnya, tak sangka video muzik Hancur Dalam Waktu akan mendapat sambutan baik di YouTube.

“Sejak dimuat naik di YouTube kira-kira tiga bulan lalu, ia mencatat 500,000 tontonan.

“Saya terkejut juga dengan sambutan diterima kerana siapalah saya. Pengalaman masih hijau, nama pun belum dikenali,” katanya.

Bagaimanapun, Farra atau nama sebenarnya Farah Umaira berkata dia yakin jumlah tontonan tinggi itu kerana penangan lagu yang kuat.

Ditanya adakah penerimaan single Hancur Dalam Waktu itu didorong oleh populariti Hang Nadim atau Akim Ahmad yang juga vokalis Akim & The Majistret, Farra tidak menafikannya.

“Ramai pencinta muzik tempatan sudah mengenali identiti sebenar Hang Nadim.

“Namun, ingin ditegaskan saya berminat merakamkan single ini kerana suka melodi dan liriknya, bukan mahu menumpang populariti Akim.

“Kini, apa yang saya harapkan semoga Hancur Dalam Waktu berpeluang dimainkan di radio,” katanya.

Semakin rancak mempromosikan single itu selepas Aidilfitri, Farra mengucapkan terima kasih kepada pelayar YouTube yang sudah mendengar nyanyiannya dan memberi komen.

“Saya menerima segala komen ditulis itu dengan hati terbuka dan akan berusaha memperbaiki apa yang kurang. Terima kasih kerana mendengar lagu saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 2:30 AM