ANTARA babak dalam drama Ghaib.
ANTARA babak dalam drama Ghaib.
Ridzuan Abdul Rahman


BAGI mereka yang membesar di asrama atau menyertai perkhemahan, pasti pernah bermain permainan spirit of coins.

Permainan ini dikatakan mempunyai keanehan tersendiri di mana roh individu yang sudah meninggal dunia akan menghantui pemainnya.

Inilah elemen yang dikupas menerusi drama berjudul Ghaib hasil garapan skrip Siti Soleha dan Aida yang akan disiarkan menerusi laman penstriman popular tonton bermula 15 Disember ini.

Siri original tonton arahan Ken Kin ini adaptasi novel Terowong dan ditampilkan sebanyak 10 episod yang akan bersiaran selama 30 minit pada jam 12 tengah hari.

Ken Kin berkata, ini bukanlah kali pertama dia mengarahkan drama seram, namun untuk tonton dia perlu melakukan kelainan.

“Saya pernah arahkan drama Cerita Dari Mastika yang berkonsep satu episod satu cerita. Ghaib siri penuh, jadi jalan cerita serta wataknya kena konsisten.

“Selain itu, banyak juga elemen seram yang perlu saya fikirkan untuk cerita ini. Boleh dikatakan setiap episod perlu ada elemen seram.

“Cabarannya saya tak boleh buat unsur seram yang sama saja dan perlu fikirkan kelainan dalam setiap episod. Apa yang saya boleh buat ialah reka elemen seram dari segi lokasi dan prop yang ada,” katanya.

ANTARA babak dalam drama Ghaib.
ANTARA babak dalam drama Ghaib.

Ken Kin sudah 20 tahun bergelar pengarah dan berpengalaman mengarah pelbagai genre seperti majalah, pengembaraan dan drama bersiri.

Antara drama arahannya yang popular ialah Geng Bas Sekolah, Kapten Boleh dan Laksam Girl.

Menurutnya, Ghaib berlatarkan kisah di sebuah kolej yang mana belakang bangunan itu ada gua terbiar.

“Suatu malam, pelajar kolej masuk gua untuk bermain spirit of coins dan menyeru roh penunggu gua. Salah seorang daripada mereka terkena gangguan.

“Daripada empat pelajar yang masuk, hanya tiga saja berjaya keluar dan seorang lagi hilang.

“Ia seterusnya jadi kes polis dan mereka mula menyiasat kejadian sebenar. Inilah plot cerita Ghaib,” katanya.

Drama ini dibintangi pelakon Shukri Yahaya, Eyka Farhana, Siti Elizad, Joanna Bessey, Neera Azizi dan ramai lagi.

“Watak polis dilakonkan Shukri dan Siti Elizad, ada empat watak pelajar, dua pengawal keselamatan dan hantu. Inilah karakter utama dalam Ghaib.

“Lain-lain watak ialah pengetua yang nak jaga nama kolejnya dan tak suka polis datang menyiasat.

“Pengawal keselamatan pula berada di persimpangan dilema kerana perlu benarkan polis masuk ke premis itu untuk menyiasat sedangkan pada masa sama perlu ikut arahan pengetua yang tegas,” katanya.

Memandangkan semua pelakon berpengalaman, Kin Kee tidak perlu bersusah payah memberikan tunjuk ajar kepada mereka.

“Mereka cepat tangkap apa yang saya mahukan. Selepas perbincangan ringkas, mereka sudah tahu apa yang perlu dibuat.

“Cerita seram selalunya ada elemen gelap, adunan bunyi yang mengejutkan tapi untuk Ghaib, saya kena lihat juga kesesuaiannya dengan lokasi sebenar berbanding apa yang digambarkan dalam novel.

ANTARA babak dalam drama Ghaib.
ANTARA babak dalam drama Ghaib.

“Saya kena pastikan elemen seram boleh diwujudkan. Ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk dapatkan idea,” katanya.

Ken Kin turut menjelaskan, cuaca tidak menentu memberikan masalah kepada produksi tetapi dia beruntung kerana 80 peratus penggambaran dilakukan di sebuah kolej di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Ada masa penggambaran terpaksa ditangguhkan. Saya berterima kasih kepada UKM kerana memberikan kebenaran menggunakan kolej mereka.

“Untuk gua pula, ia cabaran terbesar kerana dibuat di gua sebenar di Batu Caves. Nak masuk ke situ amat susah kerana jalannya sangat becak.

“Kenderaan tak dibenarkan masuk sampai ke dalam dan kami semua terpaksa berjalan kaki untuk masuk ke situ. Ia pengalaman yang sangat mencabar,” katanya.

SINOPSIS

Mimie, Jessica, Nina dan Suzi masuk ke dalam gua dan menyeru roh yang menghuni kawasan itu.

Jessica yang tidak senang dengan rancangan itu mula berasa resah. Tiba-tiba kedengaran suara wanita mengilai dan mereka mula takut.

Tiba-tiba satu lembaga yang dikenali sebagai hantu Mona muncul di belakang Mimie dan lilin terpadam. Mereka berlari keluar dari gua dan menyedari Mimie tiada bersama mereka.

Mereka berlari ke pondok pengawal keselamatan kolej untuk mengadu perkara itu dan kemudian bergegas ke balai polis.

Detektif Riza dan Sarjan Anita diarahkan menyiasat kejadian itu namun mereka tidak percaya dengan kewujudan hantu Mona.

Pengetua kolej itu, Puan Maurice meminta pihak polis merahsiakan perkara berkenaan demi menjaga nama baik premis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 5:30 AM