ROSSA. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ROSSA. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PENYANYI Indonesia, Rossa, 40, menyifatkan penganugerahan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) sebagai hadiah terindah sempena ulang tahun kelahirannya pada 9 Oktober lalu.

Beliau antara 19 penerima darjah SSAP yang membawa gelaran Datuk Seri dalam Istiadat Majlis Pengurniaan Pingat dan Darjah Kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Pemilik nama sebenar Rosa Roslaina Handiyani itu berkata, penganugerahan pingat itu akan menjadi pemangkin dalam karier seninya di industri muzik serantau.

“Mungkin 2018 adalah tahun bertuah saya, bulan lalu saya menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik (APM2018) dan pingat ini adalah hadiah hari lahir terbaik serta satu penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri seni.

“Penganugerahan ini juga memberi saya tanggungjawab yang lebih besar dalam memartabatkan lagi arena muzik serantau kerana industri muzik Malaysia dan Indonesia saling mendukung antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini beliau masih mempromosikan albumnya ‘A New Chapter’ dan lagu duet terbaru bersama D’Masiv, Bukan Maksudku.

Rossa berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’.

Sementara itu, artis veteran tanah air, Amir Hamzah Salleh, atau ND Lala, menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Pada istiadat itu, seramai 76 individu menerima pingat dan darjah kebesaran.

Daripada jumlah itu, seramai 19 individu dianugerahkan SSAP membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Raja Puan Mahkota Perak, Raja Datuk Seri Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Mohd Fauzi Abdul Rahman.

Selain itu, Pengarah Kanan (Bahagian Siasatan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Simi Abdul Ghani; Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar dan Presiden Persatuan Bolasepak Myanmar, Zaw Zaw.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 5:05 PM